Home Semasa Mat Sabu sedia isytihar harta kepada SPRM

Mat Sabu sedia isytihar harta kepada SPRM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Jul – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sedia menjadi pemimpin pertama dari Pakatan Harapan yang mengisytiharkan hartanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, beliau tiada masalah untuk mengisytiharkan hartanya pada bila-bila masa jika diminta berbuat demikian.

“Sebelum ini saya pernah mengisytiharkan aset kepada Invoke Malaysia pada 13 Mac lepas dan tiada masalah jika perlu berbuat demikian kepada SPRM,” katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian 2018 di Kem Kementah, di sini, hari ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bergambar bersama anak-anak yatim dari Rumah Amal Asnaf Al-Barakh – Foto twitter MINDEFMalaysia

Pada majlis tersebut, Mohamad turut meraikan 50 orang anak-anak yatim dari Rumah Amal Asnaf Al-Barakh dan 15 orang ibu tunggal serta meluangkan masa beramah mesra dengan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kota Raja itu menyambut baik usaha kerajaan mencegah rasuah termasuk mengadakan program taklimat kepada semua menteri, ahli Parlimen dan Adun.

“Saya sendiri duduk dalam jawatankuasa itu yang dipengerusikan perdana menteri. Kami bersama SPRM telah menyusun pelbagai program.

“Kali ini amalan berkaitan rasuah diperketatkan, banyak perkara tak boleh buat. Hadiah tak lebih dari barang makanan dan kalau bukan bentuk makanan, nilainya tidak boleh melebihi RM500.

“Kalau lebih, kami perlu isytihar kepada SPRM. Kita yakin dengan usaha ini, rasuah dapat dikurangkan,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply