KUALA LUMPUR, 4 MAC – “Pencampuran beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) adalah untuk memenuhi cita rasa pengguna tempatan serta untuk menghasilkan variasi jenama di pasaran.”
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata demikian dalam jawapan bertulis ketika mengulas pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya mengenai isu pencampuran BPT dan BPI dalam industri beras negara.
Tegas Mohamad Sabu, amalan ini bukan perkara baharu, sebaliknya telah diamalkan sejak era 1970-an selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).
“Amalan pencampuran beras ini telah berlaku sejak tahun 1970-an lagi, iaitu selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) di bawah pentadbiran Kerajaan-kerajaan terdahulu dan bukannya baru berlaku ketika pemerintahan Kerajaan sekarang,” katanya.
Menurut Mohamad Sabu, hasil kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) juga menunjukkan bahawa pencampuran ini dilakukan sebagai sebahagian daripada strategi industri bagi memastikan kelangsungan bekalan dan memenuhi permintaan pengguna tempatan.
“Berdasarkan dapatan MyCC, MyCC merumuskan bahawa tujuan pencampuran ini adalah untuk memenuhi cita rasa pengguna tempatan dan untuk menghasilkan variasi jenama di pasaran,” tambahnya.
Pada 26 Februari lalu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dilapor mengesahkan kira-kira 40 hingga 50 peratus BPI daripada 5,000 sampel dianalisisnya bercampur BPT.
Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Syahril Firdaus Ab Razak berkata, campuran beras itu dipercayai berlaku di peringkat pengilang di mana petani menanam padi menggunakan benih tempatan dan apabila dijual kepada pengilang, di situlah berlaku campuran beras import serta BPT.
Jelasnya, kajian yang menggunakan teknologi pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang tahun 2023 dan 2024.
Tiada akta khusus mengawal percampuran beras di Malaysia
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu turut mengesahkan, tiada akta khusus yang secara jelas memperuntukkan pendakwaan terhadap kesalahan pencampuran BPT dan BPI dalam industri padi dan beras negara.
Tegasnya, hasil analisis cap jari DNA yang dijalankan oleh MARDI menunjukkan kewujudan percampuran kedua-dua jenis beras itu dalam pasaran tempatan.
“Bagaimanapun, berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan perundangan subsidiari di bawahnya, tiada peruntukan yang khusus yang jelas bagi pendakwaan kes di mahkamah mengenai kesalahan percampuran beras,” ujarnya pada Isnin.
Justeru, kata beliau, pada 13 Februari lalu, dua langkah diumumkan kerajaan sebagai usaha awal memastikan keseimbangan dalam industri iaitu menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik bermula 16 Februari 2025.
Langkah ini dibuat setelah mengambil kira peningkatan kos pengeluaran, termasuk kos upah, baja, racun serta faktor lain yang mempengaruhi harga beras di pasaran.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju mengekalkan harga BPT pada RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran berjumlah RM150 juta bagi tempoh enam bulan, berkuat kuasa 1 Mac hingga 31 Ogos tahun yang sama. -airtimes.my
#MatSabu #Berastempatan #Berascampur #Airtimes #Malaysia #BPT #BPI