Home PolitikPakatan Harapan PH tolak segala tawaran Muhyiddin

PH tolak segala tawaran Muhyiddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, tawaran ini sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau.

“Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau,

“Sebaliknya, PH memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik COVID-19,

“Kami berkeyakinan bahawa kami mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik COVID-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut Majlis Presiden PH, perutusan khas Muhyiddin hari ini adalah pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Ini mewajibkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dilaksana, di mana beliau hendaklah meletakkan jawatan,

“Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan Pembangkang,

“Ini juga kali pertama seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia,” kata mereka.

Sementara itu, menurut Majlis Presiden PH, kenyataan Muhyiddin berkata “tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” jelas telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply