Home Semasa Ketua Pembangkang diberi saraan, kemudahaan setara Menteri Kanan

Ketua Pembangkang diberi saraan, kemudahaan setara Menteri Kanan

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=5_YiCdQP32o[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan tersebut diberikan sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat.

Faedah kepada ketua pembangkang itu adalah antara 7 perkara yang dijanjikan akan dilaksanakan Muhyiddin jika undi percaya diluluskan.

Selain itu, semua Ahli Parlimen turut akan menerima peruntukan tahunan sebanyak RM300 ribu bagi memperluaskan bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik COVID-19 tanpa mengira parti politik.

Beliau berkata, peruntukan yang sama turut diberikan kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara baru-baru ini bagi tujuan pembelian bakul makanan untuk diagihkan kepada rakyat yang memerlukan.

“Bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki,” katanya dalam perutusan khas, hari ini.

Muhyiddin turut menjelaskan, kerajaan juga bersetuju untuk membentangkan di Parlimen mengenai penambahan siling Dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu.

“Peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis COVID-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,

“Dalam menangani krisis kesihatan COVID-19, peruntukan tambahan akan disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes COVID-19, pengesanan kontak rapat serta pengasingan mereka yang positif atau test, trace and isolate,

“Kerajaan juga akan mengukuhkan sistem kesihatan terutamanya dalam menambah petugas kesihatan serta meningkatkan kapasiti wad ICU, termasuk penyumber luaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta, selaras dengan pendekatan ‘Whole of Nation’,” tambahnya.

Dari aspek bantuan kepada rakyat pula, Muhyiddin berkata, kerajaan komited untuk membantu golongan terjejas dengan menyalurkan bantuan wang tunai sebanyak RM10 bilion kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun 2021.

“Bantuan tunai bagi mereka yang memerlukannya akan diteruskan pada tahun 2022, bukan sahaja untuk golongan B40 tetapi juga meliputi bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan,

“Bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang COVID-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada PKS, 8 terutamanya dalam meraih peluang ekoran pembukaan semula ekonomi selaras dengan pelaksanaan PPN,” ujarnya.

Ketiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 2 penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Manakala, tawaran ke-4 pula, kerajaan akan akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.

“Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini,

“Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang,

“Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” jelasnya.

Beliau turut berkata, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen bagi melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.

“Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan,” katanya.

Cadangan ke-7 pula, Muhyiddin berkata, semua Rang Undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen sebelum dibentangkan.

“Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply