Home Semasa Piala Dunia: Perancis ke final tewaskan Belgium

Piala Dunia: Perancis ke final tewaskan Belgium

by Air Times News Network

SAINT PETERSBURG, 11 Jul – Samuel Umtiti membawa Perancis ke final Piala Dunia di Saint Petersburg sebentar tadi apabila menanduk masuk jaringan kemenangan 1-0 seterusnya memberikan satu lagi kekecewaan buat ‘generasi emas’ Belgium.

Perancis yang memiliki skuad muda yang amat berbakat kini mahu membalas dendam kekalahan di laman sendiri pada final Euro 2016 pada saingan final menentang England atau Croatia.

Dalam saingan Piala Dunia yang kerap ditentukan menerusi hantaran bola mati, sepakan penjuru terbukti amat berkesan apabila Umtiti menanti untuk berlari dan menyambut hantaran Antoine Griezmann enam minit babak kedua bermula.

Perancis juga berterima kasih kepada aksi menyelamat hebat penjaga gol Hugo Lloris pada kedua-dua babak.

Pemain Belgium, Kevin De Bruyne memberi amaran bahawa Kylian Mbappe sudah bersedia mengejutkan dunia pada awal permainan dan pemain remaja termahal dalam sejarah bola sepak dunia itu menunjukkannya pada 60 saat pertama.

 

Dia mengatasi Jan Vertonghen dengan mudah dan hanya halangan minit terakhir Vincent Kompany menyekat Griezmann daripada menyambung hantaran lintang itu.

Thibaut Courtois keluar dari gawang tepat pada masanya untuk menyelamatkan Vertonghen sekali lagi daripada kepantasan Mbappe pada minit ke-12 namun Belgium paling banyak menguasai posisi bola.

Pemain Red Devils paling berbahaya ialah Eden Hazard yang memulakan karier bersama Lille dalam Ligue 1 yang melakukan cubaan pertama tetapi hanya sedikit melepasi palang. – AFP

Related Articles

Leave a Reply