Home Semasa Ken Laben sahkan Mohamad Sabu,Azmin dan Zuraida boleh masuk Sarawak

Ken Laben sahkan Mohamad Sabu,Azmin dan Zuraida boleh masuk Sarawak

by Noor Sheila Amin

KUCHING, 24 Mei – Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Sarawak, Ken Laben mengesahkan beberapa Menteri Kabinet yang disenarai hitam untuk masuk ke Sarawak sudah ditarik balik bermula semalam selepas pihaknya menerima arahan daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, Menteri Kabinet yang ditarik balik dari senarai hitam berkenaan adalah mereka yang sudah mengangkat sumpah jawatan itu Isnin lalu.

“Senarai hitam untuk Menteri Kabinet yang sudah mengangkat sumpah ditarik balik semalam.

Beberapa lagi pemimpin Pakatan Harapan yang disenarai hitam akan ditarik balik selepas perlantikan dan angkat sumpah jawatan itu,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin, berada dalam senarai larangan memasuki Sarawak.

Turut tersenarai Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Sekurang-kurangnya 37 ahli politik daripada pelbagai parti politik dari Semenanjung tidak dibenarkan masuk ke Sarawak termasuk ahli akademik, Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Ahli politik lain yang berada dalam senarai itu adalah Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos dan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Sarawak mempunyai hak mengawal selia kuasa imigresennya seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Kerajaan negeri menghalang individu tertentu masuk dengan alasan individu terbabit berpotensi mengganggu gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

Related Articles

Leave a Reply