Home Semasa Azmin tumpu usaha pulihkan ekonomi negara, jadikan Malaysia destinasi pelaburan utama

Azmin tumpu usaha pulihkan ekonomi negara, jadikan Malaysia destinasi pelaburan utama

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Usaha memulihkan ekonomi negara dan menjadikan Malaysia destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara dan global menjadi tumpuan utama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau yakin Malaysia berpotensi besar untuk mengembalikan keyakinan pelabur domestik dan asing kerana mempunyai modal insan yang berketrampilan dan berilmu.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memulakan tugas pada pagi ini dengan mempengerusikan mesyuarat pertama di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya

“Kementerian saya merupakan satu kementerian yang penting dah saya akan adakan pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan kementerian.

“Pengalaman saya (selaku Menteri Besar) di Selangor akan membantu dalam memastikan pengurusan ekonomi negara dapat dilakukan dengan bertanggunjawab dan baik,” katanya selepas mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia bersama 12 Menteri Kabinet yang lain di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu istiadat di Istana Negara, di sini pada Isnin.

Ketika ditanya mengenai pengganti beliau sebagai Menteri Besar Selangor, Azmin berkata ia hanya akan diputuskan selepas berakhirnya Ramadan.

“Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah mengharapkan peralihan pentadbiran negeri Selangor akan berjalan dengan baik dan lancar. Tuanku menitah agar proses ini berjalan beberapa hari selepas sambutan Aidilfitri.

“Saya akan berbincang dengan kepimpinan parti (PKR) untuk memastikan siapa yang boleh diberikan tanggujawab baharu di Selangor. Kita akan persembahkan nama kepada Tuanku untuk dapatkan perkenan sebaik sahaja parti membuat keputusan,” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply