Home Politik Shafie Apdal tiba di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah

Shafie Apdal tiba di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 14 Mei – Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiba untuk memulakan tugas rasmi di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, dengan diiringi kawalan keselamatan polis.

Mengiringi beliau ialah Pengerusi PH Sabah, Christina Liew dan Timbalan Presiden WARISAN, Darell Leiking.

Beliau yang tiba pada jam 10.45 pagi disambut Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.

Turut menyambut beliau ialah ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar yang sebelum ini keluar UMNO dan menyatakan sokongan kepada kerajaan WARISAN-PH.

Beberapa penyokong WARISAN turut kelihatan menunggu ketibaan Mohd Shafie di pekarangan PPNS.

Mohd Shafie mengangkat sumpah Ketua Menteri kelmarin apabila pakatan WARISAN-PH mendapat majoriti mudah 35 kerusi untuk membentuk kerajaan selepas enam ADUN BN menyatakan sokongan kepada pakatan berkenaan.

Bagaimanapun, Pengerusi BN, Tan Sri Musa Aman yang mengangkat sumpah Ketua Menteri pada Khamis lalu belum meletak jawatan, malah menjelaskan beliau masih Ketua Menteri yang sah.

Musa bersama anggota Kabinet yang mengangkat sumpah bersamanya turut mengadakan mesyuarat pertama Kabinet pada Sabtu lalu.

Setakat ini, belum diketahui sama ada Musa juga hadir di PPNS untuk memulakan tugas rasmi di pejabat Ketua Menteri yang terletak di tingkat 30.

Pasukan keselamatan termasuk anggota tentera kelihatan berkawal di PPNS bagi mengawal keadaan berikutan kemungkinan dua Ketua Menteri hadir memulakan tugas rasmi hari ini.

Related Articles

Leave a Reply