KUALA LUMPUR, 9 Mei – Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini telah diberikan amaran oleh seorang individu untuk meminta maaf dalam tempoh 24 jam.
Individu yang dikenali sebagai Daeng La Galigo semalam menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri Ke-4 Malaysia itu mempunyai tempoh masa 24 jam untuk memohon maaf kepada masyarakat Bugis atas kenyataan Tun Mahathir yang menyatakan masyarakat Bugis adalah bangsa lanun.
“Langkah seterusnya untuk anda, (Tun) Mahathir Mohamad, adalah untuk berlutut memohon maaf kepada masyarakat Bugis,” tegas Daeng La Galigo dalam kenyataan yang disiarkan pada kira-kira 4 petang semalam.
Menurut Daeng, Tun Mahathir telah mempersia-siakan segala peluang untuk memohon maaf dan seringkali mengeluarkan macam-macam alasan.
Beliau turut mendakwa bahawa Tun Mahathir tidak layak untuk menjadi pemimpin kerana mengamalkan sikap tindas-menindas serta kekejaman kepada lelaki dan wanita yang tidak bersalah di Malaysia.

Amaran yang disampaikan oleh individu yang bernama Daeng La Galigo kepada Tun Dr Mahathir di satu akaun Facebook.
“Tunjukkan kepada kami, masyarakat Bugis bahawa anda tidak lemah dan pemintaan maaf adalah sikap yang terhormat,” tambah Daeng.
Kenyataan yang dimuatnaik di satu akaun Facebook turut menyebut, sekiranya Tun Mahathir enggan memenuhi tuntutan tersebut, Cyberarmy Bugis akan melaksanakan serangan terhadap sistem yang dimiliki oleh Pakatan Harapan.
“Anda mempunyai 24 jam untuk memohon maaf, atau Cyberarmy kami akan melakukan serangan pada semua sistem anda,” amaran dari Daeng.
Menurut Daeng, pihak Cyberarmy Bugis bersedia untuk menyerang anda bila-bila masa sahaja sekiranya Tun Dr Mahathir tidak memenuhi tuntutan mereka.
“Senjata kami telah siap diisi dengan peluru, jari kami sudah berada di pelatuk dan mata kami sudah tertumpu pada sasaran,” tambah Daeng.
1 comment