Home PolitikPakatan Harapan Mahkamah Tinggi tolak saman Tian Chua terhadap SPR

Mahkamah Tinggi tolak saman Tian Chua terhadap SPR

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman yang difailkan Naib Presiden PKR Tian Chua terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan pencalonannya untuk bertanding kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Hakim Datuk Nordin Hassan ketika membenarkan bantahan awal oleh pejabat Peguam Negara mengatakan pemfailan kertas pencalonan merupakan sebahagian daripada proses pilihan raya.

Beliau memetik Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut sebarang cabaran mengenai pilihan raya mesti dibuat melalui petisyen pilihan raya sebelum dikemukakan ke mahkamah tinggi.

“Oleh itu, kerana beliau mencabar penerimaan kertas pencalonan mesti dibuat melalui petisyen pilihan raya.

“Saya juga tiada bidang kuasa dan kuasa untuk mendengar kes-kes petisyen pilihan raya. Pemfailan saman pemula ini melanggar Perkara 118. Berdasarkan ini, permohonan itu ditolak tanpa perintah berhubung kos,” katanya.

Tian Chua yang nama sebenarnya Chua Tian Chiang sebelum ini memohon deklarasi bahawa beliau layak dan berhak untuk bertanding bagi kerusi Parlimen atau negeri seperti yang termaktub dalam Artikel 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan.

Saman itu dikemukakan atas alasan telah termaktub dalam undang-undang bahawa denda RM2,000 tidak akan menjejaskan hak atau status atau membuat hilang kelayakan pemohon sebagai ahli parlimen.

Pemimpin PKR itu mendakwa pada PRU-13, dokumen penamaan calonnya diterima sekali gus dibenarkan bertanding walaupun didenda RM2,000 kerana mencederakan anggota polis pada 2007 dan sejak itu, katanya, dia terus menjalankan tugas sebagai ahli parlimen.

Pada penamaan calon PRU14 28 April lalu, Tian Chua hilang kelayakan untuk bertanding di parlimen Batu selepas kertas pencalonannya ditolak berikutan denda RM2000 yang dikenakan mahkamah terhadap beliau.

Naib presiden PKR berusia 54 tahun itu dalam afidavitnya berkata mengikut undang-undang denda RM2,000 tidak menyebabkan beliau hilang kelayakan bertanding di Parlimen.

Tian Chua menambah semasa PRU13, beliau mengemukakan kertas pencalonan dan dibenarkan untuk bertanding walaupun menghadapi denda RM2,000.

Tian Chua berkata beliau telah menjadi anggota Parlimen sejak PRU13 dan speaker Dewan Rakyat tidak mempersoalkan atau menimbulkan apa-apa isu mengenai kehilangan kelayakannya.

Related Articles

Leave a Reply