Home Politik Daftar pengundi baru diketahui lagi seminggu: SPR

Daftar pengundi baru diketahui lagi seminggu: SPR

by Nurulhuda

Kuala Lumpur, 29 Mac – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata semakan terhadap daftar pemilih baharu untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) susulan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam dijangka dapat diketahui dalam tempoh seminggu atau selewat-lewatnya pada hari penamaan calon.

Sehubungan itu, beliau menegaskan mana-mana parti-parti politik diminta memaklumkan kepada penyokong mereka untuk membuat semakan itu selepas sahaja SPR mengeluarkan senarai pemilih baharu yang disahkan.

“Sebab itu, kita adakan Kempen Jom Semak dan Jom Kita Mengundi. Apabila dia buat semakan, dia akan dapat tahu. Kalau pada masa pencalonan dia (pengundi) akan dapat tahu siapa calon dia, siapa yang akan bertanding dalam kawasan dia…kalau sekolah, di sekolah mana (pusat mengundi).

“Ini penting supaya semasa hari mengundi nanti mereka tidak pergi ke tempat tidak sepatutnya. Apabila tidak buat semakan, dia akan pergi ke tempat lama dan tiba-tiba namanya tiada di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu dalam program Sesi Khas Bersama SPR yang disiarkan di TV1, malam tadi.

Usul kajian semula persempadanan itu yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diluluskan Dewan Rakyat semalam, setelah mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen melalui undi belah bahagian, dengan 129 menyokong dan 80 lagi yang menolak.

SPR mengesyorkan perubahan nama pada 12 kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung Malaysia, dan juga mengesyorkan tiada perubahan bilangan kawasan Parlimen dan DUN di Semenanjung.

Mengulas lanjut, Mohd Hashim menolak dakwaan kajian semula persempadanan itu adalah untuk memberi kemenangan kepada mana-mana pihak kerana beberapa negeri jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lepas meskipun menggunakan persempadanan semula yang dibuat SPR.

Mengulas mengenai perbahasan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya itu yang hangat diperdebatkan di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata ia menunjukkan komitmen tinggi wakil rakyat untuk mempertahankan kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata SPR bercadang mengadakan kerjasama dengan mana-mana universiti atau institusi untuk mengadakan kajian dan impak sebelum dan selepas kajian semula persempadanan, kerana kebanyakannya hanya dibuat sebelum kajian semula persempadanan dilaksanakan.

Related Articles

Leave a Reply