Selangor, 13 Feb – Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor masih belum selesai dalam rundingan agihan kerusi di negeri itu untuk pilihan raya umum akan datang. Menurut pengarah pilihan raya HARAPAN Selangor Dr Xavier Jeyakumar, masih terdapat 15 hingga 20 kerusi yang belum dimuktamadkan. “Belum selesai, kita belum lagi, bincang lagi. Mungkin 15 hingga 20 lagi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jentera pilihan raya PKR Selangor di Shah Alam hari ini.
Jeyakumar, yang juga adalah naib presiden PKR, berkata keempat-empat parti komponen itu akan bertemu semula minggu hadapan. “Keempat-empat parti Selangor telah bincang kerusi pilihanraya akan datang dan kita telahpun ada sedikit kefahaman bahawa kita nak menang negeri Selangor dan semua parti bersama dengan kita dalam isu ini dan kita akan teruskan perundingan lagi lepas perayaan Tahun Baru Cina.
“Untuk sementara waktu, parti-parti akan balik kepada parti masing-masing untuk bincang kerusi lagi dalam negeri Selangor dan lepas tu sahaja kita boleh adakan keputusan. “Hari ini tak ada keputusan lagi,” katanya sambil menambah bahawa wakil dari semua empat parti hadir semasa mesyuarat dua jam itu.
Susulan mesyuarat yang diadakan Khamis lalu, HARAPAN Selangor juga mendedahkan bahawa 21 dari 56 kerusi negeri belum dimuktamadkan. Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo menjelaskan bahawa ketiadaan partinya pada mesyuarat sebelum ini tidak sepatutnya dijadikan isu kerana terdapat perbincangan dua hala dan tiga hala yang diadakan di antara parti-parti HARAPAN berhubung kerusi yang bertindih.
“Saya ingin menjelaskan bahawa apa yang berlaku pada kali terakhir adalah pertemuan dihadiri oleh empat parti. “Susulan itu terdapat perbincangan dua hala dan perbincangan tiga hala. Itu sebabnya mengapa DAP tidak terlibat, bukannya kami tidak hadir,” katanya. “Kami adakan satu lagi mesyuarat hari ini dan kami gembira dengan hasil mesyuarat hari ini,” katanya.
Ketua Penerangan Selangor BERSATU Sallehudin Amiruddin berkata beliau telah diarahkan untuk meneruskan perbincangan dan yakin agihan kerusi itu akan diselesaikan dalam semangat kerjasama. “… berapa banyak kerusi dan semua itu, biar kita selesaikan isu-isu ini sesama kita,” katanya. PKR, BERSATU dan DAP diwakili oleh empat ahlinya pada mesyuarat hari ini manakala AMANAH menghantar tiga wakil termasuk ADUN Hulu Kelang Saari Sungib.