Home PolitikPakatan Harapan ‘Pro 98 Reformasi’ buat kecoh Konvesyen Pakatan Harapan

‘Pro 98 Reformasi’ buat kecoh Konvesyen Pakatan Harapan

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 7 Jan – Konvensyen Pakatan Harapan pagi ini sedikit kecoh selepas sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka ‘Pro 98 Reformis’ bertekak dengan satu lagi kumpulan dipercayai penyokong Parti Amanah Negara.

Kumpulan berkenaan sebelum itu dilihat membawa sepanduk yang tertera gambar Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain itu, sepanduk kapsyen menamakan mereka masing-masing sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, tindakan kira-kira 10 ahli kumpulan reformis itu mengundang perasaan tidak puas hati dalam kalangan individu dipercayai penyokong Parti Amanah Negara yang mempersoalkan tindakan mereka itu.

Teguran itu menyebabkan seorang daripada ahli reformis didengar berkata mereka sudah memperjuangkan cita-cita untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-tujuh sejak 1998 lagi.

Kata-kata itu disambut pihak satu lagi yang menyatakan mereka sudah berjuang lebih lama sejak 1980-an dengan disusuli kata-kata kesat.

Pertengkaran itu berlaku selama lima minit sebelum ia dileraikan penyokong masing-masing.

Bagaimanapun, kumpulan reformis itu tidak terus beredar tetapi sebaliknya terus melaungkan perkataan ‘reformasi’ dan ‘Hidup Anwar’ sebelum beredar kira-kira jam 9.30 pagi.

Related Articles

Leave a Reply