KUALA LUMPUR, 31 MEI – “Setakat yang kami tahu, untuk perkara awam. Belum ada lagi usaha untuk perbincangan luar mahkamah bersama kerajaan,” kata Leftenan Komander Rafique Ali Ahmad Nordin (B) yang mewakili kumpulan veteran dalam isu tuntutan bayaran tertunggak.
Beliau berkata, situasi ini berbeza dengan kes melibatkan 38 bekas hakim dan balu yang telah memfailkan tuntutan serupa berhubung pelarasan dan bayaran tertunggak selepas kemenangan kes Aminah Ahmad pada Januari 2022.
“Apabila tuntutan difailkan, hakim mahkamah telah menasihati kerajaan supaya mengadakan perbincangan bersama mereka. Kami tidak pasti apakah hasil perbincangan tersebut, tetapi apa yang diketahui ialah kerajaan akhirnya telah menyelesaikan semua tuntutan mereka secara penuh secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui AirTimes di Dataran Merdeka, hari ini.
Rafique yang juga ketua Persatuan Pembela Pejuang Malaysia (PPPM) berkata, berdasarkan pengakuan peribadi bekas hakim, pihak Peguam Negara dan laporan The Edge, setiap individu menerima bayaran antara RM200 hingga RM400 ribu.
Namun tuntutan veteran pula masih belum mendapat penyelesaian serupa.
Mengulas lanjut, apabila ditanya mengenai kesedian kesatuan veteran terhadap rundingan luar mahkamah, Rafique menjelaskan, pihaknya sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan adil luar mahkamah.
“Sudah tentu, kami sentiasa terbuka. Kami mengalu-alukan sebarang usaha atau inisiatif daripada pihak kerajaan untuk berbincang mengenai perkara ini. Kami bukan memusuhi kerajaan. Kami hanya ingin menuntut hak kami tu sahaja,” luahnya.
Terdahulu, pada 31 Mei, kumpulan veteran ATM dan pesara perkhidmatan awam berhimpun secara aman di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, bagi menuntut penyelesaian segera terhadap isu pelarasan pencen yang didakwa telah berlarutan sekian lama.
Himpunan tersebut bertujuan menyuarakan suara hati puluhan ribu pesara yang belum menerima pelarasan pencen secara menyeluruh. “Kami tidak minta lebih, kami hanya minta apa yang telah dijanjikan dan apa yang sepatutnya menjadi hak kami,” katanya. -airtimes.my
#Pesara #pelarasanpencen #mindef #AirTimes
