KUALA LUMPUR, 14 OKT – Kerajaan memperuntukan RM400 juta untuk menyelenggara dan membaik pulih semua Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat semalam berkata, RM20 juta turut disediakan untuk menaik taraf sistem pembentungan Kem Tentera Darat Malaysia (TDM) secara berfasa.
Tegasnya, kesejahteraan anggota beruniform dan para pesara akan terus dipelihara.
“Selain itu, kerajaan akan terus menggiatkan inisiatif PROTEGE-RTW yang merupakan penempatan latihan pekerjaan dengan kerjasama syarikat penerima kontrak kerajaan dan meluaskan skop kepada golongan veteran ATM di bawah kontrak yang dimeterai oleh Kementerian Pertahanan,
“Bagi melindungi kebajikan dan pembangunan sosioekonomi anggota veteran, setiap program kerajaan akan mempunyai kuota khusus untuk veteran seperti program keusahawanan, latihan, pekerjaan dan kemudahan pembiayaan,” katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri membentangkan belanjawan bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ berjumlah RM393.8 bilion, paling tinggi dalam sejarah belanjawan negara.
Beliau berkata, RM303.8 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus manakala RM90 bilion, untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.-airtimes.my
#Belanjawan2024 #DSAI #ATM #airtimes #pertahanan