TEHRAN, 31 MAC – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mengesahkan kematian Komander Tentera Lautnya, Laksamana Muda Alireza Tangsiri pada Isnin berikutan kecederaan parah yang dialaminya akibat serangan tentera pakatan Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Tangsiri dilaporkan cedera parah dalam bedilan udara yang menyasarkan bandar pelabuhan Bandar Abbas pada 26 Mac lalu.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz bersama Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sebelum ini telah mengumumkan pembunuhan komander tersebut. Katz menyatakan bahawa operasi itu adalah sebahagian daripada usaha strategik untuk membuka semula laluan maritim di Selat Hormuz, memandangkan Tangsiri merupakan individu yang bertanggungjawab menyelia sekatan maritim di kawasan tersebut.
Kenyataan IDF berhubung pembunuhan itu turut disokong oleh Pusat Pemerintahan AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper dan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth. Pihak IDF juga mendakwa bahawa beberapa komander kanan Tentera Laut IRGC yang lain turut terbunuh dalam serangan yang sama.
Pihak IRGC dalam kenyataan rasminya mengesahkan kematian tersebut, namun menegaskan bahawa insiden itu tidak akan melumpuhkan rantaian komando dan operasi ketenteraan mereka. Pasukan tersebut berikrar untuk mengekalkan sekatan di Selat Hormuz dan akan meneruskan Operasi Vade-ye Sadeq 4 (Janji Benar 4) yang setakat ini telah melancarkan lebih 85 siri serangan peluru berpandu dan dron.
Tangsiri memainkan peranan penting dalam merangka strategi penutupan perairan strategik Selat Hormuz sejak konflik Asia Barat terbaharu tercetus pada penghujung Februari lalu. Strategi berkenaan telah memberi kesan langsung kepada lonjakan harga minyak dan tenaga global. Beliau juga dilaporkan telah mengikrar taat setia kepada Pemimpin Agung Iran yang baharu, Seyyed Mojtaba Khamenei pada awal Mac lalu.
Untuk rekod, Tangsiri telah disenarai hitam oleh Jabatan Perbendaharaan AS sebagai Pengganas Global Dilantik Khas pada tahun 2019. Beliau turut dikenakan sekatan tambahan oleh AS pada tahun 2024 berikutan kedudukannya dalam lembaga pengarah Paravar Pars Company, sebuah syarikat pembangunan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) tentera Iran.
Sebelum kematiannya, beliau pernah memberi amaran untuk membedil fasiliti minyak yang mempunyai kaitan dengan AS di rantau berkenaan sekiranya provokasi diteruskan. Tangsiri turut memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas terminal minyak utama Iran di Pulau Kharg akan mencetuskan krisis harga tenaga global yang sangat teruk. – airtimes.my
