Jika disebut rantau Asia Tenggara, kawasan yang sering dianggap sebagai titik panas atau titik nyala ialah Laut China Selatan. Pertindihan tuntutan maritim serta persaingan kuasa besar menjadikan kawasan itu fokus utama perhatian antarabangsa. Namun, di sebalik hiruk-pikuk geopolitik tersebut, konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja muncul sebagai satu ancaman senyap yang berpotensi menggugat kestabilan serantau secara menyeluruh.
Konflik ini boleh diibaratkan sebagai “pintu belakang” kepada keselamatan ASEAN. Istilah tersebut mungkin jarang digunakan, namun ia mencerminkan realiti sebenar konflik dua negara jiran Asia Tenggara ini. Pertelagahan Bangkok dan Phnom Penh sering terlepas daripada radar perhatian antarabangsa kerana ia tidak melibatkan laluan perdagangan utama atau kuasa besar secara langsung. Hakikatnya, tekanan dan campur tangan luar lazimnya hanya muncul sekiranya tercetus peperangan berskala besar yang memberi kesan global.

Konflik terbaharu di antara Thailand dan Kemboja yang kian memuncak semenjak 7 Disember 2025 lalu telah menyebabkan kemusnahan harta benda serta kehilangan nyawa. Ini termasuk fasiliti penduduk awam yang terjerat dalam pertelagahan antara kedua-dua negara./Gambar: Army Spoke Team Thailand
Peperangan yang tercetus pada 7 Disember lalu telah benar-benar menguji keutuhan kerjasama ASEAN. Ia berlaku hanya beberapa bulan selepas protokol gencatan senjata serta perjanjian damai dimeterai di Kuala Lumpur pada pertengahan tahun ini. Kedua-dua persetujuan tersebut dicapai hasil usaha diplomatik Malaysia yang ketika itu bertindak sebagai Negara Pengerusi ASEAN.
Pemeteraian Perjanjian Kuala Lumpur mendapat pujian pelbagai pihak. Pertama, ia memperlihatkan keupayaan Malaysia serta ASEAN untuk bertindak sebagai pemudah cara dalam konflik serantau. Kedua, perjanjian itu melambangkan komitmen kolektif ASEAN untuk menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan diplomasi. Namun, kembalinya konflik bersenjata hanya beberapa bulan selepas itu menimbulkan persoalan besar terhadap keberkesanan mekanisme pengurusan konflik ASEAN.

Persengketaan antara Thailand dan Kemboja bukan sekadar menjejaskan usaha damai Perjanjian Kuala Lumpur, malah ia mencalar kredibiliti kepusatan ASEAN./Gambar: Hun Manet
Akibat penjajahan, kemudian dibakar dengan sentimen
Akar kepada ketegangan ini tidak dapat dipisahkan daripada dendam sejarah dan pertindihan sempadan yang diwarisi sejak era penjajahan. Perebutan wilayah serta penaklukan merupakan ancaman tradisional yang jelas, melibatkan pertempuran fizikal serta implikasi kemanusiaan yang serius. Dalam konteks Thailand dan Kemboja, isu sempadan bukan sekadar persoalan garis peta, tetapi berkait rapat dengan identiti nasional dan legitimasi politik.
Pertindihan tuntutan terhadap tapak bersejarah seperti Kuil Preah Vihear dan Prasat Ta Muen Thom menjadi simbol kepada konflik yang lebih mendalam. Kawasan ini bukan sahaja mempunyai nilai sejarah dan budaya, malah digunakan sebagai alat mobilisasi nasionalisme di kedua-dua negara. Sentimen politik dalaman, khususnya ketika berdepan tekanan domestik, sering menyemarakkan kembali isu lama yang belum pernah benar-benar diselesaikan secara tuntas.
Impak segera konflik ini amat serius. Sejak 9 Disember, lebih setengah juta penduduk di kedua-dua negara terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan. Ketegangan ini turut membawa kepada keputusan Kemboja menarik diri daripada penyertaan dalam Sukan SEA ke-33 yang dijadualkan berlangsung di Thailand. Langkah tersebut bukan sekadar keputusan sukan, sebaliknya satu isyarat simbolik terhadap keretakan hubungan dua hala.

Salah satu kawasan perkampungan Thailand yang terkena bedilan roket artleri BM-21 Tentera Kemboja./Gambar: Army Spoke Team Thailand
Keadaan ini bukan sahaja mengancam kestabilan domestik Thailand dan Kemboja, malah mencabar integriti prinsip Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality) sebagai pemangkin keamanan serantau. Konflik yang mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak berpotensi membawa kesan berlapis. Imej ASEAN yang sebelum ini terkesan akibat krisis berpanjangan di Myanmar sekali lagi teruji apabila dua negara anggota terlibat dalam peperangan terbuka.
Konflik yang berlarutan akan menimbulkan rasa curiga serta ketidakpercayaan terhadap keupayaan ASEAN mengurus pertikaian dalaman. Keadaan ini secara tidak langsung membuka ruang kepada kuasa besar luar rantau untuk meningkatkan pengaruh dan percaturan strategik mereka di Asia Tenggara. Apabila mekanisme serantau dilihat lemah, campur tangan luar sering dianggap sebagai alternatif oleh pihak tertentu.
Walaupun terdapat pujian terhadap komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong dialog aman, konflik darat yang berpanjangan ini tetap meletakkan cabaran kritikal kepada prinsip Kepusatan ASEAN. Ketidakupayaan blok tersebut untuk menyelesaikan pertikaian yang melibatkan anggotanya sendiri menjejaskan kredibiliti ASEAN sebagai paksi keselamatan rantau.

Pengunduran Kemboja dari Sukan SEA 2025 yang diadakan baru-baru ini sekaligus memberikan simbolik bahawa persengketaan antara dua negara jiran ASEAN itu akan menyebabkan hubungan serantau menjadi lebih rapuh./Gambar: FB SEA GAMES THAILAND 2025
Pengajaran berharga yang tidak boleh dibiarkan
Pengajaran utama daripada konflik ini ialah keamanan serantau tidak boleh bergantung semata-mata kepada deklarasi dan perjanjian di atas kertas. ASEAN perlu memperkukuh mekanisme pencegahan konflik, penguatkuasaan perjanjian, serta keupayaan pengantaraan yang lebih tegas. Tanpa pembaharuan yang serius, “pintu belakang” seperti konflik Thailand dan Kemboja berisiko menjadi titik lemah yang meruntuhkan keseluruhan binaan keselamatan ASEAN.
Bagi Malaysia, konflik Thailand dan Kemboja membawa pengajaran yang tidak boleh dipandang ringan. Pertama, keamanan serantau tidak boleh dianggap kekal walaupun hubungan diplomatik kelihatan stabil. Pertikaian sempadan yang diwarisi sejak era penjajahan boleh kembali meletus apabila digabungkan dengan tekanan politik dalaman dan sentimen nasionalisme. Malaysia perlu memastikan isu sempadan sendiri terus diurus secara konsisten melalui saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa bagi mengelakkan risiko eskalasi tidak disengajakan.
Kedua, konflik ini mengingatkan Malaysia tentang kepentingan kesiapsiagaan nasional dalam konteks Pertahanan Menyeluruh. Walaupun Malaysia tidak terlibat secara langsung, ketidakstabilan di negara jiran memberi implikasi terhadap keselamatan sempadan, aliran pelarian, serta kestabilan ekonomi serantau. Keupayaan koordinasi antara agensi keselamatan, ketenteraan dan pengurusan bencana perlu sentiasa diperkukuh bagi menghadapi sebarang limpahan krisis.
Akhir sekali, konflik ini menjadi peringatan bahawa kelemahan dalaman ASEAN akan membuka ruang kepada campur tangan kuasa luar. Seperti negara anggota lain, Malaysia mempunyai kepentingan strategik untuk memastikan ASEAN kekal bersatu, berfungsi dan relevan sebagai paksi keselamatan rantau. Keamanan Asia Tenggara bukan sahaja soal hubungan dua hala, tetapi berkait langsung dengan keselamatan nasional Malaysia sendiri. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #ASEAN #Thailand #Kemboja
















