Home DiskusiStrategi ‘salami slicing’: Taktik China tekan Taiwan, LCS tanpa perang

Strategi ‘salami slicing’: Taktik China tekan Taiwan, LCS tanpa perang

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

Selama beberapa dekad, Garisan Median di Selat Taiwan menjadi sempadan tidak rasmi yang memisahkan operasi ketenteraan China dan Taiwan. Walaupun tidak pernah diiktiraf secara rasmi oleh Beijing, ia kekal sebagai penanda praktikal bagi mengelakkan pertembungan secara langsung.

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, garisan tersebut semakin kabur, bukan kerana ledakan peluru atau serangan secara terbuka, sebaliknya melalui strategi yang dikenali sebagai salami slicing.

Konsep ini merujuk kepada tindakan mengambil keuntungan secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit, sehingga pihak lawan mendapati kedudukannya telah berubah tanpa disedari. Dalam konteks Selat Taiwan, Beijing telah mengaplikasikannya dengan menghantar pesawat pejuang, dron dan kapal tentera laut melepasi Garisan Median dengan kekerapan yang semakin meningkat.

Malah, setiap pelanggaran bukanlah satu insiden yang tidak disengajakan, sebaliknya sebahagian daripada corak tindakan yang memaksa Taipei menerima realiti baharu. Garisan tersebut semakin tidak relevan.

China menjustifikasikan langkah itu sebagai tindak balas kepada apa yang dianggapnya provokasi daripada Taiwan dan sekutunya, terutamanya Amerika Syarikat (AS). Bagi Beijing, kehadiran kapal perosak berpeluru berpandu seperti USS Higgins (DDG-76), kapal perang USS Cincinnati (LCS-20) dan USS Nimitz di perairan antarabangsa berhampiran, lawatan pegawai tinggi AS ke Taipei serta latihan ketenteraan bersama dianggap sebagai cubaan mengukuhkan status Taiwan yang berasingan daripada China. Sebagai balasan, Beijing memilih jalan tekanan berterusan yang tidak mencetuskan perang terbuka, namun cukup untuk melemahkan keyakinan strategik Taiwan.

Taktik salami slicing ini juga memanfaatkan faktor psikologi. Dengan kekerapan pelanggaran yang tinggi, Taiwan terpaksa menanggung kos operasi yang besar untuk memintas setiap ancaman. Ia memberi tekanan berpanjangan ke atas sumber ketenteraan dan moral awam. Lebih berbahaya, masyarakat antarabangsa juga mungkin mula menganggap situasi itu sebagai normal, sekali gus mengurangkan sensitiviti terhadap pelanggaran yang berterusan. Bagi Taiwan, cabaran ini memerlukan strategi bertahan yang bijak dengan mengimbangi antara kesiapsiagaan ketenteraan dan diplomasi strategik.

Namun begitu, Selat Taiwan bukan satu-satunya pentas bagi taktik ini diaplikasikan. Laut China Selatan (LCS), yang kaya dengan sumber dan menjadi laluan perdagangan utama dunia, turut menjadi medan ‘salami slicing’ versi Beijing. China menggunakan pendekatan serupa seperti di Selat Taiwan dengan membina dan mengukuhkan pulau buatan, menempatkan aset ketenteraan serta meningkatkan rondaan kapal pengawal pantai di kawasan pertikaian.

Bezanya, di sini, China berdepan kuasa-kuasa lain yang lebih bersedia untuk mengimbangi tindakannya. Kehadiran AS dengan rondaan kebebasan pelayaran (freedom of navigation operations), Filipina yang memperkukuh pertahanannya melalui pakatan dengan Washington, Jepun yang semakin aktif di arena keselamatan serantau, serta sokongan dari Australia dan negara-negara Eropah menjadikan permainan di LCS jauh lebih kompleks.

Namun, tindakan di LCS ini lebih kerap mendapat tindak balas segera, sama ada melalui kehadiran kapal perang sekutu atau bantahan diplomatik secara terbuka seperti yang sering dilakukan Malaysia. Oleh yang demikian, meskipun Beijing masih mampu memperluas pengaruhnya, ia terpaksa beroperasi dalam persekitaran yang lebih kompetitif berbanding Selat Taiwan yang didominasi oleh hubungan dua hala dengan Taipei.

Implikasi kedua-dua teater ini terhadap keselamatan serantau adalah signifikan. Strategi salami slicing memaksa Taipei berbelanja besar untuk kesiapsiagaan ketenteraan dan secara perlahan menghakis persepsi antarabangsa tentang keabsahan Garisan Median. Manakala, di LCS pula, strategi yang sama mencabar kredibiliti undang-undang maritim antarabangsa dan memaksa negara-negara pesisir meningkatkan kerjasama pertahanan.

Lebih penting lagi, ia menimbulkan dilema strategik kepada AS dan sekutu di Asia Pasifik. Jika mereka bertindak balas terlalu agresif, risiko kemaraan ketenteraan akan meningkat dengan cukup drastik. Namun, jika mereka berdiam diri, Beijing akan melihatnya sebagai peluang untuk mengukuhkan status quo baharu.

Bagi negara-negara di rantau ini termasuk ASEAN, perkembangan ini menyentak kesedaran dan menjadi peringatan bahawa ancaman terhadap status quo tidak semestinya datang dalam bentuk serangan langsung. Sebaliknya, cabaran terhadap kedaulatan maritim boleh hadir dalam bentuk tindakan kecil secara berperingkat yang akhirnya merubah landskap keselamatan tanpa disedari.

Dalam percaturan kuasa di Asia Pasifik, salami slicing di Garisan Median membuktikan bahawa abad ke-21 bukan sekadar era senjata canggih atau serangan siber. Ia adalah zaman di mana kuasa besar mampu mengubah realiti geopolitik tanpa melepaskan satu peluru pun, namun memberi impak yang setara dengan peperangan konvensional. -airtimes.my

#Diskusi #geopolitik #pertahanan #salamislicing #airtimes

Related Articles

Leave a Reply