KUALA PENYU, 21 MEI – Pelaksanaan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026 hingga 2030 terus diperluas ke kawasan pedalaman Sabah melalui program peringkat 5 Divisyen di Kuala Penyu.
Program itu memberi tumpuan kepada Teras 4 PSPN 2026–2030 iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (Civil-Military Cooperation – CIMIC) yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat awam mengenai peranan serta tanggungjawab bersama dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan, program ini turut menjadi platform mempererat hubungan antara Tentera Darat Malaysia dan masyarakat setempat menerusi pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) sebagaimana yang digariskan dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-31.
Antara pengisian program ialah pameran ketenteraan, promosi Askar Wataniah, persembahan pancaragam, demonstrasi tempur tanpa senjata serta Jualan MADANI.
Aktiviti berkenaan memberi pendedahan kepada orang awam mengenai fungsi Tentera Darat. Ia turut membuka ruang interaksi antara anggota tentera dengan penduduk setempat.
Selain itu, program itu juga menyokong pelaksanaan PSPN 2026 hingga 2030 di peringkat Kementerian Pertahanan. Fokus turut diberikan kepada usaha memperkukuh hubungan tentera bersama masyarakat di kawasan pedalaman serta sempadan negara.
Program tersebut berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Kuala Penyu. Ia dirasmikan oleh Komander Artileri 5 Divisyen, Kolonel Hizamuddin Haris. -airtimes.my








