Teknologi ketenteraan adalah teknologi untuk digunakan dalam peperangan. Ia terdiri daripada jenis teknologi yang bersifat ketenteraan dan bukan awam dalam perlaksanaan.
Serangan jarak jauh, peluru berpandu balistik, pesawat tanpa pemandu dan roket berkelajuan tinggi kini menjadi cabaran yang tidak lagi terikat kepada peperangan tradisional.Dalam keadaan ini, adakah Malaysia mampu bergantung pada aset sedia ada atau sudah tiba masanya untuk membina pertahanan udara berlapis yang lebih kukuh.
Malaysia ketika ini memiliki beberapa komponen pertahanan udara melalui ketiga tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia, namun keupayaan ini masih tertumpu kepada sistem jarak dekat dan perlindungan kawasan kecil yang terhad.
Dalam banyak keadaan, negara masih belum mempunyai rangkaian pertahanan berlapis yang mampu menahan ancaman dari pelbagai altitud dan jarak. Persoalannya, bagaimana sebuah negara dengan kedudukan strategik di laluan perdagangan antarabangsa dapat memastikan ruang udaranya sentiasa selamat.

Patriot PAC 3 buatan Amerika Syarikat (AS). FOTO: Lockheed Martin
Sistem pertahanan udara berlapis melibatkan gabungan radar jarak jauh, sistem amaran awal, peluru berpandu jarak dekat, sederhana dan jauh. Setiap lapisan berfungsi sebagai pelindung terhadap ancaman sebelum ia masuk terlalu dekat ke kawasan kritikal.
Model ini telah digunakan secara meluas oleh kuasa-kuasa besar, malah negara negara Asia Tenggara turut mula melaksanakan langkah yang sama untuk memastikan kesiapsiagaan ruang udara mereka berada pada tahap optimum.
Singapura menjadi contoh paling jelas dalam pelaksanaan pertahanan udara berlapis di rantau ini. Negara itu mengoperasikan sistem Aster tiga puluh untuk pertahanan jarak sederhana dan tinggi, diikuti sistem Spyder untuk jarak dekat. Radar jarak jauh serta rangkaian kawalan udara yang moden pula memastikan ancaman dapat dikesan dengan cepat. Gabungan ini menjadikan ruang udara Singapura antara yang paling dilindungi di Asia Tenggara.

Aster 30 Missile System. FOTO: Singapore Government
Indonesia pula memperkukuh pertahanan udara dengan mengoperasikan sistem NASAMS untuk jarak sederhana, negara itu turut menggunakan pelbagai sistem jarak dekat termasuk Oerlikon Skyshield dan merancang memperluas rangkaian radar jarak jauh.
Selain itu, Thailand turut memiliki keupayaan tersendiri melalui sistem Skyguard serta peluru berpandu jarak dekat Igla dan Avenger. Negara itu juga menggunakan rangkaian radar jarak sederhana bagi memantau laluan udara strategik. Vietnam yang berhadapan ancaman geopolitik di Laut China Selatan pula melengkapkan angkatan udaranya dengan sistem S tiga ratus sebagai pertahanan jarak jauh serta pelbagai sistem jarak dekat buatan domestik dan asing.
Perbandingan ini menunjukkan bahawa negara negara jiran sudah lama bergerak ke arah pembentukan pertahanan udara berlapis yang lebih menyeluruh. Walaupun pendekatan dan aset yang digunakan berbeza, objektif utama mereka tetap sama iaitu memastikan setiap ancaman dapat dipintas sebelum menembusi ruang udara kritikal.

Sistem pertahanan udara NASAMS yang digunakan oleh Indonesia. FOTO: Kongsberg Gruppen
Ancaman moden seperti dron kamikaze, peluru berpandu hipersonik serta serangan jarak jauh kini memerlukan tindak balas yang jauh lebih pantas. Tanpa radar jarak jauh dan sistem amaran awal yang terintegrasi, masa tindak balas akan menjadi terhad.
Dalam konteks ancaman semasa, penggunaan pesawat tanpa pemandu semakin meningkat dan menjadi aset utama dalam peperangan moden. Serangan dron ke atas lapangan terbang, pangkalan tentera dan pusat kawalan di beberapa negara telah menunjukkan bahawa ancaman ini tidak memerlukan belanja besar untuk menyebabkan kerosakan besar. Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada pertahanan jarak dekat sahaja sudah memadai untuk menangani bahaya baharu ini.
Selain itu, perkembangan senjata jarak jauh seperti peluru berpandu hipersonik turut menjadi faktor yang perlu dipertimbangkan. Senjata sebegini bergerak pada kelajuan yang sukar dikesan dan lebih sukar dipintas. Tanpa sistem amaran awal yang lengkap serta rangkaian radar jarak jauh, usaha mempertahankan ruang udara akan menjadi cabaran yang lebih besar. Malaysia tidak boleh mengabaikan realiti bahawa ancaman moden tidak lagi mempunyai masa tindak balas yang panjang.

Peluru berpandu Hipersonik. FOTO: U.S Department of Defence
Kedudukan Malaysia yang berada di tengah laluan maritim penting menjadikan negara ini sentiasa berada dalam radar kuasa besar. Ketegangan di Laut China Selatan juga membuka isu keselamatan baharu yang memerlukan kesediaan dari segi udara dan maritim. Sekiranya konflik tercetus di kawasan berhampiran, tempiasnya boleh menjejaskan kestabilan rantau dan keselamatan ruang udara negara.
Namun membina sistem pertahanan udara berlapis bukan tugas mudah. Kos pemerolehan, latihan, penyelenggaraan dan rangkaian sokongan adalah faktor yang perlu dinilai secara teliti. Negara yang memiliki sistem ini memerlukan peruntukan besar serta keupayaan teknikal yang berterusan.
Walaupun begitu, langkah awal sudah dapat dimulakan melalui peningkatan aset radar, integrasi pusat kawalan udara bersama agensi keselamatan serta pembelian sistem pertahanan jarak sederhana. Pendekatan berperingkat membolehkan Malaysia membina sistem pertahanan yang lebih mantap tanpa menanggung beban kewangan mendadak.
Akhirnya keperluan sistem pertahanan udara berlapis bukan sekadar soal senjata tetapi soal keselamatan nasional, justeru Malaysia perlu menilai semula tahap kesiapsiagaan dan memutuskan sama ada langkah yang lebih berani perlu diambil demi memastikan masa depan negara sentiasa terlindung. -airtimes.my
#AirTimes #Pertahananudara #ATM #Malaysia #Ancamanmoden #Teknologiketenteraan












