BALAKONG, 6 OKT – Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) memutuskan untuk tidak tiba di Gaza pada 7 Oktober ini, bagi mengelak sebarang risiko manipulasi oleh rejim Zionis.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak rejim Zionis menjadikan tarikh berkenaan sebagai alasan untuk menahan aktivis yang menyertai misi tersebut.
Menurutnya, 7 Oktober merupakan tarikh signifikan kerana ia menandakan ulang tahun serangan Hamas terhadap Israel pada 2023, yang mencetuskan perang besar-besaran sehingga kini.
“Itu satu tarikh yang mungkin Israel akan jadikan apa juga alasan untuk ambil kesempatan untuk menghentam,” katanya pada sidang media di pejabat MyCARE, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, rejim Zionis berkemungkinan memanipulasi ketibaan misi pada tarikh itu dengan menuduh aktivis terlibat mempunyai kaitan dengan Hamas.
“Jadi, kebarangkalian selepas tarikh tersebut, barulah ia akan sampai ke Gaza insya-Allah,” katanya.
Jelasnya lagi, kapal tersebut kini bergerak secara perlahan dengan purata satu batu nautika sejam, untuk tidak tiba pada tarikh itu demi memastikan keselamatan semua sukarelawan.
Terdahulu, pada 7 Oktober 2023, Hamas melancarkan Operasi Taufan Al Aqsa dengan melepaskan ribuan roket ke arah Israel dan menembusi sempadan Gaza. Serangan itu menyasarkan penempatan dan pangkalan tentera selain menculik berpuluh tebusan, sekali gus mencetuskan konflik yang masih berlanjutan.
Dalam gelombang ketiga ini, sembilan kapal di bawah FFC x TMTG telah berlepas dari Itali pada 27 September lalu, termasuk kapal Conscience yang berlayar dari Porto Otranto.
Terdapat lapan wakil Malaysia menyertai kapal Conscience iaitu Ketua Misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Misi berkenaan turut disertai 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen, 34 aktivis dan enam ahli Jawatankuasa Pemandu FFC. -airtimes.my
#AirTimes #FFC #TMTG #MyCARE #Gaza #FreedomFlotilla #MisiKemanusiaan #Israel #Palestin #OperasiTaufanAlAqsa

