KUALA LUMPUR, 3 OKT – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah tindakan menghalang dan menahan peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) adalah bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat.
“Mereka hanya dalam misi kemanusiaan membawa bekalan makanan, namun dihalang dan ditahan. Ini bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.
Baginda menyifatkan GSF sebagai misi kemanusiaan yang murni dalam membantu mereka yang kelaparan termasuk golongan warga emas, wanita serta kanak-kanak.
“Misi GSF ini adalah contoh semangat persaudaraan tanpa batas dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa sukarelawan yang terlibat dalam misi itu, termasuk rakyat Malaysia sanggup menggalas risiko dan cabaran demi membawa mesej kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.
“Pada hari ini, saya mendapatkan taklimat terkini mengenai perkembangan semasa GSF termasuk usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh Malaysia dalam membebaskan sukarelawan kita,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda turut menzahirkan harapan agar setiap usaha murni yang sedang dilakukan serta digerakkan kerajaan dalam membantu sukarelawan rakyat Malaysia, dipermudahkan dan dilindungi Allah SWT.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenanan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur. – airtimes.my
#Airtimes #Agung #SultanIbrahim #GSF #SumudFlotilla #misikemanusiaan #Gaza #Malaysia
