KUALA LUMPUR, 2 Okt – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menegaskan bahawa keselamatan siber kini menjadi teras penting pertahanan negara dan tidak lagi boleh dianggap sebagai isu sampingan.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Pameran dan Persidangan Cyber Digital Services, Defence and Security Asia (CyberDSA) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara hari ini.
Dalam ucapannya, Adly menegaskan bahawa ancaman siber yang semakin sofistikated menuntut pendekatan proaktif daripada semua pihak.
Beliau merujuk kepada insiden serangan ransomware yang melibatkan Malaysia Airports Holdings baru-baru ini sebagai peringatan jelas bahawa sebarang kelemahan sistem kritikal mampu memberi kesan besar kepada keselamatan negara, kestabilan ekonomi dan keyakinan rakyat.
“Kita tidak boleh hanya bertindak secara reaktif. Malaysia mesti mempunyai strategi yang jelas untuk mendepani ancaman ini secara proaktif. Keselamatan siber bukan sekadar isu teknikal tetapi sebahagian daripada benteng pertahanan nasional,” katanya.
Adly turut mendedahkan bahawa Kementerian Pertahanan sedang menilai penubuhan sebuah pasukan khas dikenali sebagai Cyber Force yang berperanan mengesan, menangkis dan menumpaskan ancaman siber sebelum ia meningkat ke tahap lebih berbahaya. Usaha ini selari dengan dasar pertahanan yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan dan akan dilaksanakan melalui kerjasama erat dengan agensi keselamatan serta risikan sedia ada.
Selain perbincangan dasar dan polisi, CyberDSA 2025 turut diserikan dengan pelbagai program interaktif termasuk pertandingan Siber Siaga Capture the Flag (CTF) dan Kejohanan Esukan Generasi Angkatan Masa Hadapan (GEN ATM Esports Cup).
Seiring dengan kejayaan edisi kali ini, CyberDSA dijangka akan kembali pada 5 hingga 7 Oktober 2026 di MITEC dengan skala lebih besar dan agenda lebih menyeluruh.
Adly turut yakin pameran itu akan terus menjadi pemangkin kepada inovasi, kerjasama strategik dan pembangunan ekosistem siber serantau.
“Resiliensi bukanlah satu pencapaian sekali sahaja, ia adalah perjalanan berterusan. Seperti analogi keselamatan siber, kita perlu sentiasa menampal kelemahan, membaiki sistem dan meningkatkan keupayaan untuk kembali lebih kuat,” katanya mengakhiri ucapan.
CyberDSA 2025 membuktikan ancaman siber tidak mengenal sempadan, sekali gus menjadi platform penting memperkukuh keyakinan digital, kerjasama antarabangsa dan kesiapsiagaan pertahanan negara. –
Pameran selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 8,000 pengunjung daripada 46 negara dengan penyertaan 160 syarikat pempamer dari 19 buah negara.
Kehadiran ini sekali gus menjadikan CyberDSA sebagai salah satu platform utama rantau Asia dalam membincangkan isu keselamatan siber, pertahanan digital dan cabaran baharu dunia maya yang semakin kompleks.-airtimes.my
#AirTimesNewsNetwork #Semasa #CyberDSA2025 #PertahananSiber #ATM #MINDEF #CyberSecurity
