KUALA LUMPUR, 9 OKT – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan esok akan memberi perhatian terhadap usaha memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta menangani pelbagai cabaran keselamatan semasa negara.
Menurut beliau, kementeriannya berharap peruntukan kali ini akan mengambil kira pelan jangka panjang yang telah digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan, khususnya dalam usaha membentuk angkatan masa hadapan.
“Kita percaya bahawa belanjawan esok yang nak dibentangkan akan mengambil kira banyak perkara, lebih-lebih lagi dalam soal menangani cabaran-cabaran sedia ada.
“Bagi Kementerian Pertahanan, saya percaya dan harap bajet itu akan mengambil kira perancangan kita untuk memodernkan angkatan tentera kita,” katanya kepada media pada Khamis.
Mohamed Khaled menambah, bajet kali ini adalah permulaan kepada usaha Kementerian Pertahanan untuk menjayakan angkatan masa hadapan.
“Bajet kali ini juga diharap mengambil kira cabaran-cabaran yang akan dihadapi oleh negara sama ada tradisional atau bukan tradisional.
“Dan pada masa yang sama saya juga percaya bajet ini akan terus memberi tumpuan kepada soal kesejahteraan anggota-anggota tentera,saya yakin perkara-perkara ini akan dilakukan atau ditampung oleh kerajaan” ujar beliau.
Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat esok, dengan tumpuan dijangka meliputi aspek ekonomi, keselamatan serta kebajikan rakyat.
#AirTimes #Pertahanan #Belanjawan2026 #ATM #KertasPutihPertahanan #Modernisasi #KeselamatanNegara #AngkatanMasaHadapan
