KUALA LUMPUR, 13 OKT – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan Eksesais Aman Youyi 2025 bersama People’s Liberation Army (PLA), China bermula 15 hingga 23 Oktober ini di kawasan sekitar Selangor, termasuk Klang, Subang, Puchong serta perairan Selat Melaka.
Menurut kenyataan Markas Angkatan Bersama (MKAB) hari ini, latihan dwitahunan itu bertujuan meningkatkan kebolehoperasian bersama antara ATM dan PLA selain memperkukuh hubungan ketenteraan dua hala serta mempertingkat kesiagaan dalam melaksanakan operasi kemanusiaan dan keselamatan maritim di rantau ini.
“Eksesais ini diadakan setiap dua tahun sekali untuk memperkukuh kerjasama strategik, mempertingkat kesiapsiagaan operasi bersama dan mengukuhkan peranan kedua-dua negara dalam memastikan kestabilan maritim serantau.
“Orang ramai di kawasan berhampiran dinasihatkan agar tidak panik sekiranya melihat kehadiran anggota tentera asing, pergerakan konvoi aset ketenteraan atau sebarang aktiviti berkaitan sepanjang tempoh eksesais yang dijadual mulai 13 Oktober sehingga tamat Latihan,” jelas kenyataan itu,
Eksesais Aman Youyi sebelum ini turut melibatkan aktiviti darat dan maritim merangkumi operasi bantuan kemanusiaan, keselamatan bersama serta latihan taktikal pelbagai cabang perkhidmatan. Latihan ini menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia–China di peringkat strategik dan operasional. -airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #ATM #PLA #EksesaisAMANYOUYI2025 #MalaysiaChina #LatihanBersama #AngkatanBersama
