KUALA LUMPUR, 31 OKT – Malaysia menegaskan bahawa prinsip ASEAN Didahulukan (ASEAN First) perlu dijadikan asas perpaduan dan keselamatan serantau bagi memastikan ASEAN kekal berdaulat, bersatu dan tidak mudah dipengaruhi kuasa luar.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesentralan ASEAN mesti terus dipertahankan dengan meletakkan kepentingan serantau mengatasi segala pertimbangan lain.
“Dalam apa jua tindakan dan pendirian kita, ASEAN tidak boleh menjadi pilihan kedua. Kita mesti berfikir sebagai ASEAN, bertindak sebagai ASEAN dan berperilaku sebagai ASEAN,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-19 (ADMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Beliau menegaskan, perpaduan dan solidariti merupakan perisai kepada rantau ini dalam menghadapi cabaran keselamatan baharu, termasuk persaingan geopolitik dan ancaman bukan tradisional.
“Apabila salah seorang daripada kita diuji, seluruh ASEAN turut diuji. Solidariti tidak boleh bersifat selektif. Kita mesti berdiri bersama terutamanya apabila keamanan serantau menjadi taruhan,” jelasnya.
Khaled turut menekankan keperluan ADMM untuk beradaptasi dengan perubahan zaman dengan memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan siber, inovasi teknologi dan ramalan strategik.
“Kita tidak boleh mengabaikan mana-mana aspek keselamatan, sama ada di darat, di laut atau di ruang siber. Pelaku bukan negara kini menggunakan teknologi untuk mengganggu kestabilan dan menjejaskan infrastruktur penting melalui serangan siber serta penyebaran maklumat palsu,” ujarnya.
Menurut beliau, keamanan di lautan, di alam digital dan di ruang siber bukan sahaja menjadi tanggungjawab ASEAN semata-mata, tetapi juga tanggungjawab sejagat.
Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Thailand dan Kemboja kerana mempercayai Malaysia untuk membantu memudah cara penyelesaian aman pertikaian sempadan antara kedua-dua negara itu.
“Malaysia komited untuk memastikan penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (ASEAN Observer Team) dapat disegerakan. Ia melambangkan reputasi dan kemampuan ASEAN menyelesaikan konflik secara aman,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan Malaysia dan ASEAN dalam membantu Myanmar menyelesaikan konflik dalaman serta kembali ke tempat yang sewajarnya dalam ASEAN.
Tema ADMM tahun ini, “Perpaduan ASEAN untuk Keselamatan dan Kemakmuran”, jelas Khaled, mencerminkan keyakinan bahawa perpaduan adalah kunci kestabilan rantau dan jaminan keamanan jangka panjang.
“Melalui ADMM dan ADMM-Plus, pertahanan bukan sekadar perisai perlindungan, tetapi juga asas kepada keamanan yang berkekalan,” tambahnya.
Mesyuarat ADMM ke-19 berlangsung di Kuala Lumpur dengan penyertaan semua Menteri Pertahanan ASEAN serta wakil Timor-Leste sebagai ahli baharu blok tersebut. – airtimes.my
#AirTimesNews #Semasa #PertahananKeselamatan #ADMM2025 #DiplomasiMalaysia #GeopolitikASEAN





