Home Pertahanan dan Keselamatan EX AY25 perkukuh kerjasama melalui latihan amfibia dan udara

EX AY25 perkukuh kerjasama melalui latihan amfibia dan udara

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 15 OKT – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan People’s Liberation Army (PLA) Republik Rakyat China secara rasminya melancarkan Eksesais Bilateral AMAN YOUYI 2025 (EX AY25) bermula hari ini.

Sel Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama (MK AB) berkata, eksesais ini menandakan permulaan kepada latihan bersama selama sembilan hari yang akan berlangsung sehingga 23 Oktober 2025.

“Latihan ini memberi tumpuan kepada elemen Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) serta Maritime Security (MARSEC).

“Selain itu, ia turut merangkumi Pertukaran Kepakaran (Subject Matter Expert Exchanges – SMEEs) yang menumpukan kepada perkongsian ilmu dalam operasi amfibia dan Udara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya lagi, eksesais ini akan melibatkan lebih 1,000 anggota tentera daripada kedua-dua pihak yang mewakili elemen darat, laut dan udara.

“Wakil daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut terlibat dalam latihan bantuan kemanusiaan dan bencana.

“Lokasi utama eksesais ini dilaksanakan di Selat Melaka, salah satu laluan maritim terpenting di dunia.Pelaksanaan ini menunjukkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memelihara keselamatan dan kestabilan di laluan strategik tersebut,” jelasnya.

Selain itu, EX AY25 dilaksanakan di beberapa lokasi di Malaysia termasuk Pusat Latihan SMART di Puchong, Subang, Port Klang dan di Selat Melaka.

EX AY25 bertujuan memperkukuh keupayaan kebolehoperasian antara ATM dan PLA serta mengukuhkan konsep keselamatan bersepadu, kerjasama strategik dan kelestarian dalam usaha memupuk persekitaran yang kondusif ke arah keamanan dan kestabilan serantau.

Majlis pembukaan disempurnakan oleh Ketua Staf MKAB, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis yang mewakili ATM dan Asisten Ketua Staf Markas Pemerintahan Teater Selatan, Mejar Jeneral Dai Bin yang mewakili PLA.

“Kehadiran kedua-dua pegawai kanan ini mencerminkan tahap kepercayaan yang semakin kukuh serta kerjasama yang kian berkembang antara kedua-dua angkatan tentera,” katanya. -airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #ATM #PLA #MalaysiaChina #EksesaisAY25

Leave a Reply