RAMALLAH, 16 OKT – Kerajaan Palestin mengumumkan, kesediaan melaksanakan pelan pembinaan semula wilayah Gaza yang musnah akibat konflik berpanjangan yang turut mengorbankan lebih 60,000 orang.
Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa berkata, mengakui tugas itu sukar dan kompleks, namun menegaskan kerajaan Palestin telah bersedia menggerakkan proses pembinaan semula serta meneruskan perbincangan dengan semua pihak berkaitan bagi mencapai matlamat tersebut.
“Kita akan bangkit daripada malapetaka di Gaza ke arah pembentukan sebuah negara merdeka dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya, di bawah kepimpinan Presiden Mahmoud Abbas dan melalui usaha institusi negara kita,” katanya dalam laporan oleh Anadolu Ajansi (AA).
Beliau menjelaskan, langkah ini turut merangkumi usaha memperbaiki infrastruktur penting seperti hospital, sekolah dan rumah ibadat yang musnah.
“Kita mahukan sebuah negara merdeka yang bebas daripada perang, pendudukan dan penempatan haram dan insya-Allah, bebas daripada pengangguran,” kata Mustafa pada satu bengkel di bandar Ramallah, Tebing Barat.
Menurutnya, jaminan utama bagi proses pembinaan semula Gaza bermula dengan “pemulihan penuh kepada legitimasi nasional.”
“Institusi sivil dan keselamatan negara adalah komponen yang mampu memimpin proses pemulihan, pembinaan semula dan penyatuan institusi bagi membuka jalan ke arah pembentukan sebuah negara merdeka di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis,” katanya.
Minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan bagi melaksanakan fasa pertama pelan damai yang dikemukakannya pada 29 September lalu.
Pelan berkenaan meliputi pelaksanaan gencatan senjata di Gaza, pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza.
Fasa pertama perjanjian itu mula berkuat kuasa pada Jumaat.
Di bawah perjanjian tersebut, Hamas membebaskan 20 tawanan Israel yang masih hidup serta menyerahkan mayat lapan lagi tawanan sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 tahanan Palestin.
Fasa kedua pelan itu turut melibatkan pembentukan mekanisme tadbir urus baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, penubuhan pasukan multinasional, serta pelucutan senjata kumpulan itu.
Sejak Oktober 2023, serangan berterusan Israel telah mengorbankan lebih 67,900 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan sebahagian besar kawasan Gaza hingga tidak lagi sesuai untuk didiami. -airtimes.my
#Airtimes #Konflik #pembinaansemula #Gaza #Palestin #Israel
