Di tengah geopolitik Asia Tenggara yang sentiasa bergolak, Laut China Selatan muncul sebagai gelanggang utama perebutan pengaruh dan kedaulatan.
Kawasan ini bukan sekadar laluan perdagangan antarabangsa yang sibuk, tetapi juga medan ujian terhadap keutuhan undang-undang maritim serta kebijaksanaan diplomasi serantau dalam mengurus tuntutan bertindih.
Di sebalik ketegangan yang berlarutan, usaha untuk mengekang konflik diterjemahkan melalui rundingan Code of Conduct in the South China Sea (COC) antara ASEAN dan China.
Persoalannya kini, adakah tatalaku yang sedang dirangka ini mampu menjadi penentu akhir kepada salah satu pertikaian maritim paling rumit di dunia moden?
Maksud dan asal usul COC
COC atau Code of Conduct boleh difahami sebagai satu bentuk tatalaku serantau yang sedang dirundingkan bagi memastikan setiap negara yang terlibat di Laut China Selatan mematuhi peraturan yang disepakati bersama.
Ia menjadi panduan bagaimana negara-negara perlu bertindak dalam menjalankan rondaan, penerokaan sumber, operasi keselamatan dan perkongsian maklumat agar tidak mencetuskan salah faham atau ketegangan di laut.
Usaha ini bukan muncul secara tiba-tiba, ia bermula daripada Deklarasi Tingkah Laku Pihak di Laut China Selatan (DOC) yang ditandatangani pada 2002 oleh ASEAN dan China sebagai simbol komitmen untuk mengekalkan keamanan serantau.
Walaupun DOC dianggap langkah penting pada ketika itu, kelemahannya jelas kerana ia tidak mengikat secara undang-undang dan bergantung sepenuhnya pada niat baik setiap pihak.
Kekosongan inilah yang akhirnya mendorong rundingan baharu bagi menghasilkan kesepakatan yang lebih menyeluruh dan berkuasa dalam undang-undang.
Rundingan rasmi yang digelar COC ini telah dimulakan pada tahun 2017 selepas ASEAN dan China mencapai persetujuan untuk menggunakan satu teks draf tunggal sebagai asas perbincangan.
Sejak itu, pelbagai sesi rundingan diadakan bagi memperincikan setiap klausa yang bermula daripada langkah membina keyakinan sehinggalah kepada mekanisme menangani insiden maritim.
Rundingan ASEAN dan China
Rundingan Code of Conduct (COC) antara ASEAN dan China telah dimulakan pada 2014 dan disahkan secara rasmi pada 2018, usaha merumuskan peraturan bersama bagi mengurus tingkah laku di Laut China Selatan masih belum mencapai kata sepakat.
Banyak bahagian dalam teks draf kekal tertangguh, termasuk takrif kawasan, mekanisme penguatkuasaan dan bentuk pemantauan bersama.
Negara seperti Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei muncul sebagai pemain utama kerana mempunyai tuntutan langsung di kawasan pertikaian.
Malaysia mengambil pendekatan diplomatik dan pragmatik, sementara Filipina dan Vietnam lebih lantang menegaskan prinsip undang-undang antarabangsa, khususnya UNCLOS 1982. Perbezaan keutamaan ini menjadikan proses mencari kesepakatan memerlukan diplomasi yang berhati-hati.
China pula menegaskan bahawa rundingan mesti kekal dalam kerangka ASEAN tanpa campur tangan kuasa luar. Namun, sebahagian negara anggota berpandangan keterlibatan kuasa luar tidak boleh diketepikan sepenuhnya kerana keamanan serantau bergantung pada keseimbangan strategik.

Wakil ASEAN dan China bergambar selepas mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama di Manila dari 9 hingga 11 April 2025, yang meneruskan perbincangan bagi memajukan COC. Foto: DFA
Walaupun perbezaan pandangan masih ketara, kedua-dua pihak mengekalkan komitmen untuk mempercepatkan rundingan melalui penambahbaikan teks tunggal sedia ada.
Setakat penghujung tahun 2025, rundingan COC akan terus diteruskan dengan sasaran pemeteraian yang dijangka pada tahun 2026, namun kemajuannya bergantung kepada kesediaan ASEAN dan China mencapai persetujuan terhadap klausa utama yang masih tertangguh.
Meskipun begitu, rundingan berterusan ini membuktikan bahawa ASEAN dan China masih berkongsi aspirasi yang sama dalam memastikan Laut China Selatan kekal stabil, aman dan bebas daripada konflik terbuka.
Kepentingan Strategik dan Ekonomi
Laut China Selatan bukan sekadar gelanggang politik atau isu sempadan. Kawasan ini menjadi nadi ekonomi serantau dan global, dengan dianggarkan lebih 30 peratus perdagangan dunia melalui perairannya setiap tahun.
Di bawah dasar Kebebasan Pelayaran (Freedom of Navigation), laluan ini menjadi penting kepada bukan sahaja negara pesisir seperti Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei, malah juga kuasa luar seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Australia yang bergantung pada kestabilan kawasan ini bagi menjamin kelancaran rantaian bekalan global.
Bagi Malaysia, kepentingan Laut China Selatan amat ketara kerana ia bersangkutan secara langsung dengan keselamatan ekonomi dan kedaulatan wilayah.
Kawasan seperti Beting Patinggi Ali, yang terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, menjadi titik strategik operasi minyak dan gas negara. Sebarang ketegangan di kawasan tersebut boleh menjejaskan pengeluaran tenaga serta pelaburan antarabangsa dalam sektor tenaga lepas pantai.
Oleh itu, COC dilihat sebagai satu instrumen penting untuk memelihara kestabilan operasi dan memastikan kehadiran aset maritim negara tidak disalah tafsir sebagai tindakan provokatif.
Selain kepentingan tenaga, kestabilan di Laut China Selatan turut menjamin sektor perikanan dan pelayaran negara-negara ASEAN. Dianggarkan lebih 12 juta penduduk pesisir bergantung kepada hasil laut kawasan ini bagi sumber makanan dan pendapatan.
Dengan adanya COC yang berfungsi, aktiviti ekonomi ini dapat dijalankan tanpa gangguan atau pencerobohan oleh pihak luar. Justeru, bagi Malaysia dan negara serantau, COC bukan hanya soal diplomasi, tetapi juga soal survival ekonomi dan keselamatan nasional jangka panjang.
ASEAN dan Ujian Kesepakatan Serantau
COC turut menjadi ujian besar terhadap kemampuan ASEAN bertindak sebagai blok yang bersepadu. Isu Laut China Selatan menguji bukan sahaja hubungan ASEAN dengan China, tetapi juga kesepakatan dalaman antara negara anggota yang mempunyai kepentingan berbeza.
Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei merupakan negara penuntut utama, manakala negara bukan penuntut seperti Kemboja dan Laos cenderung menyokong pendekatan berhati-hati kerana kepentingan ekonomi mereka yang rapat dengan Beijing.
Perbezaan inilah yang sering melambatkan proses rundingan kerana setiap keputusan memerlukan konsensus sebulat suara.
Walaupun begitu, ASEAN masih berupaya mengekalkan momentum diplomasi melalui pelbagai platform, termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus.
Dalam sidang ADMM yang diadakan di Kuala Lumpur pada penghujung Oktober 2025, isu COC kembali menjadi tumpuan utama. Malaysia menegaskan bahawa COC perlu mempunyai nilai praktikal dan boleh dilaksanakan, bukan sekadar dokumen simbolik yang gagal mengekang tindakan unilateral di laut.
Mesyuarat itu turut memperlihatkan kesepakatan awal di kalangan menteri pertahanan ASEAN untuk memperkukuh mekanisme komunikasi maritim antara negara anggota bagi mengelak salah faham operasi ketenteraan.

Aset China Coast Guard dan Philippine Coast Guard berada dalam jarak rapat di Laut China Selatan, menggambarkan ketegangan yang menjadikan pemeteraian COC semakin mendesak. Foto: AFP
Keputusan ini menunjukkan bahawa walaupun COC masih dalam rundingan, ASEAN tetap bergerak ke arah pembentukan norma keselamatan bersama yang lebih kukuh. Ia juga memperlihatkan peranan Malaysia sebagai tuan rumah ADMM tahun ini yang berusaha mengembalikan ASEAN kepada kedudukannya sebagai arkitek utama keamanan serantau.
Harapan dan Cabaran ke Hadapan
Walaupun pelbagai rundingan dan mesyuarat telah dijalankan, cabaran sebenar dalam mencapai COC masih besar.
Terdahulu, laporan daripada ISEAS–Yusof Ishak Institute telah menyatakan bahawa kemajuan rundingan kini berada di tahap “bacaan ketiga” teks draf, namun banyak klausa atau isu yang masih dalam perdebatan, termasuk definisi kawasan, mekanisme pemantauan, dan had kuasa tentera di laut.
Di mana, China kekal dengan pendirian bahawa rundingan mesti kekal dalam kerangka ASEAN tanpa penglibatan kuasa luar, manakala negara penuntut lain menegaskan bahawa UNCLOS 1982 perlu menjadi asas utama perundangan.
Perbezaan pandangan ini menjadikan proses mencari titik tengah lebih kompleks. Namun begitu, terdapat tanda positif apabila kedua-dua pihak bersetuju mempercepatkan proses rundingan melalui “Guidelines for Accelerating the Early Conclusion of the COC” yang diluluskan pada Julai 2023.
Walaupun sasaran pemeteraian ditetapkan pada 2026, laporan pihak penganalisis serantau menilai jangka masa tersebut agak optimistik. Namun, rundingan yang masih berterusan ini sekurang-kurangnya membuktikan kesediaan ASEAN dan China untuk kekal berunding di meja diplomasi berbanding konfrontasi di laut.
Dalam konteks ini, kejayaan COC tidak hanya diukur pada penandatanganan teks, tetapi pada sejauh mana ia dapat membentuk norma tingkah laku baharu yang mengekang provokasi dan membina kepercayaan bersama.
Harapan kedamaian di Laut China Selatan
Rundingan Code of Conduct bukan sekadar usaha teknikal diplomatik, tetapi manifestasi kepada perjuangan lebih besar bagi membuktikan bahawa Asia Tenggara masih mampu mengawal nasibnya sendiri tanpa campur tangan luar.
Bagi Malaysia dan negara jiran, kejayaan COC akan menjadi bukti bahawa keamanan boleh dicapai melalui rundingan berasaskan kepercayaan dan undang-undang, bukan kekuatan senjata.
Masa depan Laut China Selatan bergantung pada keberanian politik dan kebijaksanaan diplomasi. Jika COC berjaya dimeterai dan dilaksanakan, ia bakal menjadi asas kepada tata kelakuan maritim yang mampu mengubah landskap keselamatan rantau ini untuk dekad akan datang.
Namun, jika gagal, ia akan menjadi satu lagi contoh bagaimana perselisihan kecil antara negara serantau memberi ruang kepada kuasa besar menentukan arah rantau ini.
Bagi Malaysia, harapannya jelas agar COC bukan sekadar dokumen di atas kertas, tetapi sebuah perjanjian hidup yang benar-benar memastikan Laut China Selatan kekal aman, stabil dan makmur untuk generasi akan datang.-airtimes.my
#AirTimesNews #Diskusi #COC #LautChinaSelatan #ASEAN #China #KeselamatanMaritim #DiplomasiPertahanan














