Artikel khas oleh Jeneral Tan Sri Mohd Nizam bin Hj Jaffar, Panglima Angkatan Tentera Malaysia
Latar Belakang Konflik
Ketegangan di sepanjang sempadan Thailand–Kemboja mempunyai faktor beban sejarah dan emosi yang mendalam. Ia bermula sebagai insiden setempat dan telah dengan cepat meningkat menjadi konflik yangpaling serius dalam tempoh lebih sedekad. Ketika orang awam melarikan diri dari kediaman mereka dan tentera kedua-dua pihak saling berdepan, Malaysia telah tampil ke hadapan atas semangat tanggungjawab serantau.
Sebagai anggota pengasas ASEAN, Malaysia sentiasa percaya bahawa keamanan dan kestabilan Asia Tenggara mesti dijamin oleh rantau ini sendiri melalui dialog, semangat saling menghormati dan kepercayaan. Kedua-dua negara, Thailand dan Kemboja telah menyatakan kesediaan mereka untuk mengurangkan ketegangan, dan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Malaysia telah memudah cara perbincangan damai yang pertama di Putrajaya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar telah berlepas ke Thailand dan Kemboja sebaik sahaja perbincangan gencatan senjata selesai di Putrajaya pada akhir Julai lalu, Foto: Kementerian Pertahanan Kemboja.
Perbincangan tersebut diadakan selaras sepenuhnya dengan Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality) dan dengan sokongan negara anggota lain. Ia membawa kepada satu persetujuan mengenai gencatan senjata segera yang berkuat kuasa pada 28 Julai 2025.
Pada malam yang sama, pasukan saya telah berlepas ke Bangkok dan kemudiannya ke Phnom Penh untuk menterjemahkan perjanjian gencatan senjata yang dicapai kepada langkah-langkah praktikal di lapangan. Kami telah bertemu dengan Jeneral Songwit Noonpakdee, bekas Panglima Angkatan Tentera Thailand, dan Jeneral Vong Pisen, Panglima Angkatan Tentera Diraja Kemboja, bersama pemimpin kanan tentera lain bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan terhadap komitmen yang telah dipersetujui.

Malaysia telah menjadi pemudahcara kepada Thailand dan Kemboja untuk berbincang serta mencapai kata sepakat untuk mengelakkan konflik terus meruncing. Foto: Pejabat Perdana Menteri Malaysia
Kedua-dua negara telah bersetuju secara prinsip untuk menubuhkan Pasukan Pemerhati ASEAN (ASEAN Observer Team, AOT) sebagai mekanisme rasmi bagi memantau dan mengesahkan pematuhan terhadap gencatan senjata. Sementara struktur AOT dimuktamadkan, Pasukan Pemerhati Interim Dipertingkat (Augmented Interim Observer Team, IOT) yang diketuai oleh Atase Pertahanan Malaysia di Bangkok dan Phnom Penh telah ditugaskan untuk melaksanakan pemantauan neutral secara sementara.
IOT dan AOT melambangkan komitmen bersama ASEAN terhadap ketelusan, pembinaan keyakinan dan pengawasan yang tidak berpihak. Beroperasi di kedua-dua sisi sempadan, di bawah mandat yang jelas, pasukan ini telah diwujudkan untuk mengekalkan neutraliti, mengesahkan pelaksanaan dan mengelakkan berulangnya permusuhan.
Pada 23 Oktober 2025, Thailand dan Kemboja menandatangani Terma Rujukan (Terms of Reference, TOR) bagi AOT dan pencapaian ini diperkukuhkan lagi dengan pemeteraian Perjanjian Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Accord) pada 26 Oktober 2025.
Perjanjian tersebut menetapkan empat pelan tindakan utama iaitu penarikan keluar senjata berat, kerja-kerja nyahperiuk api bersama (joint humanitarian de-mining) dan pelupusan bahan letupan yang tidak meletup (clearance of unexploded ordnance), kerjasama kemanusiaan termasuk pengaturan pembebasan tahanan, serta penempatan AOT untuk mengesahkan dan melaporkan pelaksanaan. Langkah-langkah ini bukan kenyataan teori tetapi komitmen yang mengikat secara sah, disaksikan oleh ASEAN dan disokong oleh masyarakat antarabangsa.

Pemeteraian Perjanjian Kuala Lumpur merupakan satu kejayaan yang membanggakan kepada Malaysia dan ATM dalam memainkan peranan untuk mendukung keamanan serantau. Foto: Pejabat Perdana Menteri
Menangani Tuduhan
Dalam konteks ini, saya perlu menjawab kenyataan baru-baru ini oleh Mejar Jeneral Rangsi Kitiyansap (Bersara) dari Thailand yang menuduh Malaysia dan Perdana Menteri kita bertindak sebagai tangan tersembunyi atau seperti yang beliau sebutkan, “musuh dari dalam.” Tuduhan seperti ini bukan sahaja tidak berasas dan tidak adil, malah amat mengecewakan, terutamanya apabila diluahkan oleh seorang bekas pegawai tentera kanan.
Kenyataan ini mencerminkan kefahaman yang lemah terhadap Kepusatan ASEAN dan mengabaikan struktur kerjasama yang menjadi asas kepada rangka kerja keamanan ini. Ia juga menjejaskan prinsip profesionalisme dan saling menghormati yang telah lama membimbing institusi ketenteraan di rantau kita.
Selain itu, tuduhan tersebut memesongkan kandungan dan niat sebenar Perjanjian Kuala Lumpur. Dokumen rasmi yang menjadi tunjang proses ini adalah telus dan disahkan bersama oleh semua kerajaan yang terlibat. Ia merangkumi komitmen yang tertumpu sepenuhnya kepada keamanan, keselamatan, kerjasama kemanusiaan dan kestabilan serantau.

Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality) menekankan kerjasama pelbagai peringkat termasuk pasukan tentera dalam memastikan keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau. Foto: Markas ATM
Pada ketika ini, sebarang usaha untuk menjejaskan peranan Malaysia, kepimpinan Perdana Menteri atau integriti AOT adalah berunsur jahat. Ia menjejaskan objektif utama proses ini iaitu keamanan.
Malaysia tidak pernah mencari pengiktirafan atau penghargaan. Satu-satunya kepentingan kami ialah memulihkan kestabilan, melindungi nyawa dan menegakkan semangat solidariti serantau. Tentera di kedua-dua belah sempadan berhak untuk meletakkan senjata, sementara keluarga yang telah hidup dalam ketakutan selama berbulan-bulan berhak untuk menikmati keselamatan untuk membina semula kehidupan mereka. Itulah, dan akan terus menjadi, objektif kami.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah lama berpegang pada prinsip bahawa keamanan paling baik dicapai melalui persefahaman dan kerjasama. Dari Mindanao ke Timor-Leste hingga ke Lubnan, pasukan pengaman kita telah berkhidmat dengan profesionalisme, neutraliti dan penghormatan terhadap kedaulatan. Pemudahan proses damai antara Thailand dan Kemboja adalah sebahagian daripada tradisi khidmat ini.

Pada ketika ini, kawasan sempadan Thailand dan Kemboja kembali tenang. Keadaan ini merupakan cerminan kepada kejayaan Perjanjian Kuala Lumpur yang dimeterai semasa persidangan ASEAN baru-baru ini. Foto: Kementerian Pertahanan Kemboja
Refleksi Mengenai Kepimpinan dan Integriti
Keamanan tidak datang tanpa harga. Ia memerlukan kesabaran, keberanian moral dan kemampuan untuk melihat melangkaui kebanggaan peribadi atau politik. Sejak dari awal, tiga mesej telah membimbing setiap langkah yang kami ambil iaitu keamanan itu mahal, nyawa itu berharga dan masa itu penting. Ini bukan sekadar slogan, tetapi kebenaran yang difahami oleh setiap anggota tentera.
Oleh itu, amat mendukacitakan apabila individu yang pernah memakai uniform memilih untuk mempolitikkan proses yang bertujuan mencegah kehilangan nyawa yang lebih banyak. Menuduh pemimpin lain sebagai pengkhianat atau perisik tanpa bukti hakikatnya tidak menjatuhkan maruah yang dituduh, tetapi sebaliknya memberikan kesan kepada yang menuduh. Ia mengabaikan usaha gigih mereka yang telah bekerja secara senyap dan tanpa publisiti untuk membina keamanan, disamping menghakis kepercayaan yang menjadi asas keselamatan serantau.

“Keamanan itu mahal, nyawa adalah berharga dan masa itu penting. Ini bukan sekadar slogan, tetapi kebenaran yang difahami oleh setiap anggota tentera.” – Panglima Angkatan Tentera. Foto: Kementerian Pertahanan Thailand
Saya menyeru semua pegawai, sama ada yang masih berkhidmat atau yang telah bersara, untuk menegakkan prinsip kebenaran, keadilan dan profesionalisme. Tanggungjawab seorang tentera tidak berakhir dengan persaraan. Ia diteruskan melalui kebijaksanaan, kesabaran dan teladan. Tanggungjawab kita melangkaui sempadan, iaitu memelihara kestabilan rantau yang kita berkhidmat.
Sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia, saya tetap yakin bahawa AOT, bersama kerajaan Thailand dan Kemboja, akan menunaikan komitmen yang telah dimeterai di Kuala Lumpur. Kemajuan sudah kelihatan di lapangan dengan penarikan balik senjata, operasi nyahperiuk api yang sedang dijalankan dan komuniti sempadan mula kembali kepada kehidupan normal. Inilah penanda kejayaan sebenar, bukan bunyi tuduhan yang tidak berasas.

Angkatan Tentera Malaysia telah menunjukkan profesionalisme mereka, bersama dengan pasukan tentera lain dalam menjaga keamanan serta kestabilan global. Foto: Kementerian Pertahanan Kemboja
Malaysia kekal teguh dalam komitmen terhadap penyelesaian yang diterajui ASEAN, penghormatan terhadap kedaulatan negara dan pelaksanaan telus semua perjanjian damai. Angkatan Tentera Malaysia akan terus berkhidmat sebagai rakan yang boleh dipercayai dalam memperkukuh nilai-nilai bersama ini.
Pax optima rerum.
Keamanan kekal sebagai satu kebaikan yang terbaik, dan ia adalah matlamat yang kami perjuangkan sejak awal.
******************************************************************************************************************************************************
Jeneral Tan Sri Mohd Nizam bin Hj Jaffar ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-23 . Artikel ini merupakan penjelasan rasmi beliau mengenai peranan Malaysia dalam proses damai Thailand–Kemboja. Versi asal artikel ini adalah dalam Bahasa Inggeris dan boleh diakses dipautan ini.
******************************************************************************************************************************************************
