TEHRAN, 25 SEPT – Kementerian Perisikan Iran hari ini mendakwa pihaknya berjaya menyusup masuk ke dalam tapak program senjata nuklear Israel.
Menterinya, Esmail Khatib berkata, kejayaan itu berjaya dilakar melalui operasi sulit yang melibatkan penyusupan ejen ke dalam tapak nuklear, kerjasama orang dalam organisasi serta rasuah terhadap anggota keselamatan Israel.
“Penyusupan itu membolehkan kami mendapatkan akses secara fizikal ke dalam fasiliti strategik termasuk Reaktor Nuklear Dimona selain berjaya merakam video, mengambil gambar serta memperoleh dokumen dan barangan dari fasiliti berkenaan tanpa dapat dikesan.
“Kami juga telah mengenal pasti seramai 189 pakar ketenteraan, saintis dan tenaga nuklear Israel yang terlibat dalam program tersebut. Malah, maklumat peribadi beberapa individu utama turut diperoleh termasuk alamat salah seorang ahli nuklear tersohor Israel di Rehovot,” katanya.
Jelasnya lagi, penyusupan ini merupakan bukti jelas terhadap kelemahan Israel kerana pihaknya kini memiliki dokumen operasi, passport dan identiti pekerja yang terlibat dalam program nuklear Israel.
Selain itu, Esmail turut mendedahkan bahawa perisikan Iran berjaya mengetahui lokasi kediaman Menteri Pertahanan Israel, Yisrael Kata.
Dalam masa sama, Iran mendakwa Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, berpihak kepada Israel dengan menyalurkan maklumat mengenai program nuklear Iran semasa konflik Israel-Iran baru-baru ini. -airtimes.my
#AirTimes #Iran #Nuklear #Perisikan #Dimona #IAEA





