WASHINGTON, 30 SEPT – Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan permintaan Ukraine untuk memperoleh peluru berpandu kruis jarak jauh Tomahawk bagi memperkukuh usaha menangkis pencerobohan Rusia, kata Naib Presiden JD Vance
Menurut beliau, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy telah meminta Washington menjual peluru berpandu tersebut kepada negara-negara Eropah yang bersedia menyalurkannya ke Ukraine.
“Kita sedang meneliti beberapa permintaan daripada pihak Eropah. Keputusan akhir akan dibuat oleh Presiden Donald Trump,” kata Vance dalam temu bual bersama Fox News Sunday pada Ahad.
Tomahawk merupakan peluru berpandu kruis dengan jarak serangan sehingga 2,500 kilometer. Pemilikan sistem persenjataan ini sekali gus meletakkan Moscow dalam lingkungan serangan sekiranya senjata itu dibekalkan kepada Kyiv.
Pemerhati menjangka langkah berkenaan hampir pasti akan dianggap sebagai peningkatan konflik oleh Rusia.
Trump sebelum ini menolak permintaan Ukraine untuk menggunakan peluru berpandu jarak jauh, namun dilaporkan semakin kecewa dengan keengganan Presiden Rusia Vladimir Putin menamatkan perang melalui rundingan damai.
Pentadbiran Trump kini berdepan dilema strategik antara meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Moskow dan mengimbangi risiko peningkatan ketegangan konflik di Eropah Timur. – airtimes.my
