Home GlobalFilipina desak Majlis Keselamatan PBB kawal penggunaan kecerdasan buatan oleh tentera

Filipina desak Majlis Keselamatan PBB kawal penggunaan kecerdasan buatan oleh tentera

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

MANILA, 29 SEPT — Filipina menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memimpin usaha mengawal penggunaan ketenteraan kecerdasan buatan (AI).

Menurut Manila, perkembangan senjata autonomi tanpa kawalan boleh mencetuskan ancaman baharu terhadap keselamatan global.

Perkara itu disuarakan oleh Menteri Luar Negeri Filipina, Ma. Theresa Lazaro membuat gesaan itu ketika berucap pada perbahasan peringkat tinggi mengenai AI di New York.

Beliau menegaskan, bahawa AI bukan lagi isu teknologi semata-mata, sebaliknya sudah menjadi soal keamanan dan kestabilan antarabangsa.

Filipina sebelum ini turut menjadi sebahagian daripada kumpulan teras di sebalik resolusi Perhimpunan Agung PBB 2024 bertajuk “Artificial Intelligence in the Military Domain” yang memberi amaran tentang risiko perlumbaan senjata, ancaman serta penyebaran teknologi kepada pelaku bukan negara.

Lazaro berkata, penggunaan AI bagi tujuan ketenteraan secara pesat, meningkatkan ketegangan konflik terutamanya jika keupayaan autonomi disebarkan tanpa kawalan.

Beliau turut menegaskan, senjata berasaskan AI tidak boleh beroperasi di luar kawalan manusia.

“Kita tidak boleh menyerahkan keputusan hidup dan mati sepenuhnya kepada mesin,” katanya, sambil merujuk hasil Mesyuarat Manila mengenai Sistem Senjata Autonomi yang dianjurkan Filipina pada 2023.

Menurutnya lagi, tadbir urus antarabangsa mesti seiring dengan perkembangan AI yang pesat.

Selain itu, beliau turut menggesa Majlis Keselamatan menegakkan sebarang norma pertahanan AI berlandaskan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta hak asasi manusia.

“Jika AI digunakan untuk melaksanakan mandat pengaman, pemantauan yang ketat perlu dilakukan bagi memastikan teknologi ini hanya berfungsi melindungi dan bukan mencederakan,” ujar Lazaro.

Sementara itu, diplomat kanan itu turut memberi amaran, bahawa penyalahgunaan AI seperti penyebaran propaganda imej palsu, berita palsu dan sasaran automatik boleh menjejaskan demokrasi, melemahkan institusi serta menimbulkan konflik.

Lazaro mengakui, Majlis Keselamatan sendiri boleh memanfaatkan AI untuk penilaian ancaman, pemantauan sekatan dan usaha menentang keganasan dengan syarat pelaksanaannya di bawah kawalan ketat.

“Filipina berharap Majlis Keselamatan PBB menegaskan kepimpinannya dalam menjadikan AI sebagai kuasa untuk kebaikan dan pemacu keamanan serta keselamatan,” kata Lazaro. — airtimes.my

#Airtimes #AI #tentera #PBB #Filipina

Related Articles

Leave a Reply