MOJOSARI, 29 SEPT — Seramai empat pegawai dan 21 anggota lain-lain pangkat daripada 10 Briged (Para) telah menyertai Eksesais LINUD MALINDO 2025 bersama Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) bermula 15 hingga 26 September lalu.
Menurut 10 Briged (Para) melalui akaun media sosial rasminya, latihan ini menumpukan kepada latihan silang, latihan asas penerjunan, penugasan Pasukan Aturgerak Cepat melalui operasi lintas udara, serbuan menawan titik penting serta misi pengunduran.
Eksesais melibatkan 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) dan Batalion Infantri Para Rider 503/Mayangkara. Ia bertujuan meningkatkan kerjasama taktikal, memperbaiki keupayaan operasi serta mengeratkan hubungan pertahanan antara Malaysia dan Indonesia.
Majlis penutup menyaksikan penganugerahan sayap penerjunan kepada semua pegawai dan anggota yang terlibat. Penyampaian disempurnakan oleh Asisten Operasi Divisi 2 Kostrad, Kolonel Inf Selamat Rahardjo dan Ketua Staf Am 10 Briged (Para), Kolonel Syed Suhairi Syed Hussein di Pusat Latihan Tempur Marinir 3 Grati, Pasuruan.
Penganjuran Eksesais LINUD MALINDO 2025 membuktikan keupayaan 10 Briged (Para) sebagai pasukan aturgerak cepat yang sentiasa bersedia, teguh dan mampu digerakkan pada bila-bila masa. — airtimes.my
#AirTimesNewsNetwork #PertahananKeselamatan #TenteraDarat #BrigedPara #TNIAD #Malaysia #Indonesia
