Zaki Salleh
MILDEF dijangka meterai kontrak bekal 136 Tarantula kepada Tentera Darat
LANGKAWI 21 MEI – Syarikat automotif pertahanan tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF) dijangka akan memetrai kontrak membekal 136 unit kenderaan Tarantula kepada Tentera Darat Malaysia.
Perkara tersebut dimaklumkan MILDEF menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada LIMA 2025, pada Selasa.
Bagaimana pun, kenyataan itu tidak menjelaskan lebih terperinci tentang kontrak yang hendak dimeterai.
“Menerusi edisi penganjuran LIMA kali ini, MILDEF juga dijangka akan memetrai kontrak bagi pembekalan 136 unit Tarantula kepada Tentera Darat Malaysia.
“Ia sekali gus membuktikan kemampuan dan kepercayaan Kementerian Pertahanan kepada MILDEF dalam melaksanakan projek berskala besar dengan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan kerajaan,” memetik kenyataan berkenaan.
Ini merupakan kali pertama MILDEF mengeluarkan kenyataan sedemikian sejak kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4×4) Tarantula yang diperkenalkan MILDEF pada 2 April 2021.
Sepertimana diketahui, sepanjang tempoh itu MILDEF telah menjalankan beberapa ujian termasuk melibatkan Tentera Darat Malaysia bagi menguji keupayaan HMAV Tarantula di lapangan.

RIBAT, kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV) buatan tempatan (Foto: MILDEF)
Sementara itu, dalam kenyataan sama yang dikeluarkan semalam, MILDEF mengumumkan pelancaran rasmi RIBAT, iaitu kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV).
Ini merupakan kenderaan HMLTV pertama seumpamanya yang direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh MILDEF.
Pelancaran ini mengesahkan kedudukan MILDEF sebagai peneraju industri pertahanan darat negara.
Sekali gus menjadikan syarikat ini sebagai pengeluar pertama kenderaan perisai taktikal nasional yang berjaya menembusi
pasaran serantau dan antarabangsa.
Penamaan RIBAT oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini membawa nilai simbolik tinggi serta merujuk kepada semangat berkawal mempertahankan tanah air yang berteraskan iman, patriotisme dan teknologi.
Pengarah Urusan MILDEF, Dato’ Sri Mohd Nizam Kasa berkata, pelancaran RIBAT menjadi manifestasi kejayaan dasar kerajaan dalam memperkasa ekosistem pertahanan yang berdikari dan berimpak tinggi.
“RIBAT merupakan hasil inovasi tempatan yang membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja mampu menjadi pengguna sistem pertahanan, tetapi pencipta teknologi strategik yang diyakini kerajaan dan komuniti global,” katanya.
Selain itu, MILDEF turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi kerjasama strategik bersama rakan industri.
Ini melibatkan syarikat pertahanan utama Indonesia, PT PINDAD bagi membuka peluang eksport, pemindahan teknologi serta integrasi sistem antara kedua-dua negara serantau.
Kerjasama seterusnya Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) memfokuskan kepada pembangunan dua lagi platform kenderaan taktikal yang akan direka bentuk sepenuhnya dalam negara.
#AirTimes #RIBAT #MILDEF #Asetpertahanan
Kolumnis: Menjadikan LIMA 2025 penganjuran lebih besar, lebih hebat, lebih baik
Esok, Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025 yang dinanti-nantikan akan bermula.
Belum pun membuka tirainya, namun harapan besar telah diletakkan pihak-pihak berkepentingan untuk menjadikan edisi penganjuran kali ini sebagai yang paling hebat.
Bertemakan ‘Kemajuan Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan’, LIMA ’25 akan berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) Langkawi pada 20 hingga 24 Mei.
Segment maritim pula bertempat di Resort World Langkawi dan perairan sekitarnya di mana kapal-kapal perang berlabuh.
Acara kali ini memberi penekanan kepada inovasi dan peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.
Pihak Global Exhibitions and Conferences Sdn. Bhd. (GEC) merupakan penganjur LIMA 2025 yang juga edisi ke-17 bersama-sama Kementerian Pertahanan (Mindef).
Cuma kali ini tiada penyertaan Kementerian Pengangkutan sebagai penganjur bersama sepertimana pada edisi lalu.
Selepas penganjuran LIMA 2023, kerajaan Madani menjangkakan LIMA 2025 mencatat kehadiran pengunjung paling tinggi sepanjang sejarah penganjurannya.
Manakala nilai potensi jualan juga disasarkan melepasi rekod sama.
Bagaimana pun, tidak dinyatakan secara spesifik angka jualan yang disasar, malah tidak juga menyebut berapa jualan pertahanan dan juga komersial.
Jika sasaran jualan ini dijangka meningkat, bermakna ada pembelian baharu yang bakal diumumkan kerajaan di Langkawi nanti. Apakah pembelian tersebut?
Sebaliknya jika ia hanya angka jualan potensi, ini tidaklah boleh dikira sebagai suatu perolehan.
Sebenarnya, semua penganjur dan kerajaan yang terlibat menganjurkan LIMA sebelum-sebelum ini meletakkan hasrat menjadikan edisi masing-masing sebagai paling hebat.
Pihak penganjur pula menjadikan angka terbesar, ruang pameran paling luas dan kehadiran teramai sebagai kayu pengukur kehebatan penganjuran.
Cerita tentang kehebatan ini juga kemudiannya menjadi tajuk yang terpampang pada dada akhbar termasuk dilaporkan portal-portal berita.
Jika mengambil kira LIMA 2025 dan dua edisi LIMA lepas, acara ini diadakan di bawah tiga Menteri Pertahanan (Menhan) yang berbeza.
Mohamad Sabu sebagai Menhan pada LIMA 2019, kemudian Dato’ Seri Mohamad Hasan (LIMA 2023) dan kini Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin.
Semasa LIMA 2023, penganjurnya mengumumkan acara ini sebagai penganjuran terbesar apabila pelbagai perjanjian pertahanan dan komersial bernilai RM17.4 bilion berjaya ditandatangani.
Sebanyak RM10.128 bilion adalah kontrak pertahanan.
Ia mencatat penyertaan tertinggi membabitkan 525 pempamer mewakili 140 syarikat dari seluruh dunia manakala lebih 100,000 pengunjung awam hadir menyaksikan pameran LIMA 2023.
Pameran juga disertai 119 pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik, selain 40 kapal tentera laut.
Semasa LIMA 2019, pihak penganjur juga mengumumkan edisi tersebut sebagai yang paling baik apabila mencatatkan kehadiran pengunjung mencecah 279,000 orang.
Seramai 42,030 pula adalah pengunjung perdagangan dengan penambahan seramai 2,000 orang berbanding edisi sebelum ini. Kehebatan LIMA 2019 dicanang habis-habisan.
LIMA 2017 pula menyaksikan lebih 180,000 pengunjung, berbanding kira-kira 175,000 pengunjung semasa LIMA 2015.
Sebenarnya, jika jumlah kehadiran pengunjung dijadikan kayu pengukur, fakta tersebut ada kebenarannya kerana aspek kemampuan orang ramai untuk bertandang ke Langkawi berubah.
Berbanding 20 tahun lalu, pelancong domestik adalah sesuatu yang mewah dan tidak mampu dibiayai kebanyakan orang.
Tambah pula kos untuk datang dari tanah seberang ke Langkawi bukan kecil manakala kemudahan tempat tinggal terutamanya homestay dan hotel bajet di sana sangat kurang berbanding hari ini.
Kini pelancongan domestik berada dalam kawalan mampu poket, justeru ini turut menyumbang kepada jumlah kehadiran pengunjung yang meningkat pada LIMA tahun demi tahun.
Persekitaran Langkawi juga telah jauh berubah dengan rumah penginapan muncul seperti cendawan selepas hujan.
Berbalik kepada LIMA 2025, sepertimana biasa, tarikan utama acara ini adalah pada segmen pameran udara dan pertunjukan aerobatik.
Kira-kira 102 pesawat disahkan penganjur menyertai LIMA dengan 38 buah melakukan pameran statik manakala tiga pasukan aerobatik antarabangsa mengesahkan penyertaan.
Bagi segmen maritim pula, sebanyak 35 kapal tentera laut dari pelbagai negara akan berlabuh di perairan Langkawi.
Antaranya seperti ITS Antonio Marceglia (Itali), JS Yahagi (Jepun), TCG Büyükada (Turkiye), RSS Steadfast (Singapura) dan USS Lenah Sutcliffe Higbee (Amerika Syarikat).
Selebihnya milik Tentera Laut Pakistan, Indonesia, India, Rusia, Thailand dan Bangladesh.
Pelbagai demonstrasi maritim yang bakal dipersembahkan nanti tidak kurang hebat dan mendebarkan.
Semoga penganjuran LIMA 2025 berjalan dengan lancar, segalanya mengikut sepertimana dirancang dan mencapai matlamat menjadi edisi yang terbaik berbanding sebelumnya. – airtimes.my
Kolumnis: Menteri Singapura dedah ramai pegawai Melayu cemerlang dalam angkatan tentera
Singapura kini mempunyai lebih ramai pegawai kanan berbangsa Melayu dalam semua cabang angkatan tenteranya berbanding tahun-tahun terdahulu.
Perkara tersebut dinyatakan seorang ahli politik republik tersebut, Zaqy Mohamad yang juga merupakan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia).
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) Singapura bagi podcast NoTapis BHerbual pada 29 April yang kemudian disiar dalam portal media berkenaan.
Berita portal itu bertajuk, ‘Zaqy: Lebih ramai Melayu diwakili dalam semua unit SAF; pegawai kanan Melayu bukti cemerlang’.
Memetik laporan tersebut menurut Zaqy, orang Melayu kini ada dalam semua unit Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dengan bilangannya telah meningkat.
“Hari ini jika kita melihat pencapaian anak-anak Melayu, kita melihat mereka semua berada dalam semua unit – tentera darat, RSAF, RSN dan juga dalam unit Perkhidmatan Digital dan Perisikan yang ditubuhkan baru-baru ini.
“Kita melihat para pegawai (Melayu) hari ini berkebolehan dan setaraf dengan pegawai kanan dalam SAF,” kata beliau.
Beliau menyebut beberapa pegawai Melayu yang cemerlang dalam SAF.

Leftenan Muda Zakiah Huda Sapari, pegawai wanita pertama dalam sejarah Sekolah Kadet Pegawai (OCS) SAF yang memimpin Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet. Foto: MINDEF Singapura
Antaranya Komander Divisyen Singapura Kesembilan dan Ketua Infantri, Kolonel Fairoz Hassan; Komander Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC), Kolonel Muhammad Helmi Khaswan dan juruterbang jet pejuang F-15SG, Mejar Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman.
Wanita Melayu turut mencipta sejarah dalam SAF seperti Leftenan Iffa Daniesha Mohamad Raihan Hafidz, wanita Melayu pertama dilantik sebagai pegawai tentera laut Singapura.
Begitu juga Leftenan Muda Zakiah Huda Sapari, pegawai wanita pertama dalam sejarah Sekolah Kadet Pegawai (OCS) SAF yang memimpin Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet.
Jelas Zaqy lagi, kejayaan anak-anak Melayu itu dalam SAF berdasarkan meritokrasi dan bukannya sebagai tanda lambang atau tokenism semata-mata.
Anak-anak Melayu hari ini lebih berpendidikan dan berkebolehan, masyarakat dapat melihat lebih ramai yang layak bagi pelbagai tugasan, jawatan dan kerjaya.
Dalam berita tersebut, Zaqy turut ditanya soalan berapa ramaikah bilangan Melayu yang ada dalam SAF secara keseluruhan.

Mejar Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman merupakan juruterbang jet pejuang F-15SG. Foto: MINDEF Singapura
Bagaimana pun, menteri tersebut tidak dapat mendedahkannya kerana ia adalah ‘isu sensitif’ dan merupakan ‘rahsia negara’.
Pada 2016, Singapura buat pertama kalinya mempunyai dua pegawai Melayu sepenuh masa dalam SAF yang berpangkat Kolonel iaitu pegawai Melayu tertinggi dalam angkatan tentera sedang bertugas.
Mereka ialah Kol Mohd Fahmi Aliman sebagai Komander Pusat Penilaian Latihan Tentera (ATEC) dan Kol Zakir Hamid, Komander Kumpulan Pengangkutan RSAF.
BH Singapura pada 15 Februari 2015 melaporkan, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen mendedahkan bahawa SAF telah mengerah askar Melayu yang sedia berkhidmat di atas kapal tentera laut sebagai kelasi.
Menurut Dr Ng lagi, orang Melayu kini berkhidmat dalam pasukan tentera darat, laut dan udara, sambil menambah bahawa dengan bilangan penduduk Singapura yang kecil, SAF tidak mendiskriminasi terhadap sesiapa dan menaikkan pangkat anggota perkhidmatan berdasarkan keupayaan mereka.
Adalah diketahui SAF tidak secara terbuka menerbitkan statistik rasmi mengenai bilangan atau peratusan anggota Melayu dalam tenteranya.
Seringkali juga perbincangan secara terbuka tentang isu penyertaan orang Melayu dalam SAF dianggap sebagai topik yang sensitif untuk diperkatakan di Singapura.
Sebelum dekad ini juga penyertaan anggota Melayu dalam pasukan Komando Singapura adalah terhad berbanding unit elit lain seperti Guards.
Berdasarkan data umum, difahamkan SAF mempunyai kira-kira 51,000 anggota aktif yang mana komponen terbesar ialah tentera darat iaitu kira-kira 40,000 anggota tetap.
Selebihnya adalah bagi RSAF dan RSN.
Tunjang utama SAF ialah kira-kira 252,500 anggota simpanan (NSmen) iaitu mereka telah menamatkan tempoh Perkhidmatan Negara (NS) dan bersedia untuk dipanggil semula jika diperlukan.
Setiap tahun republik itu mempunyai kira-kira 50,000 belia yang mencapai usia wajib untuk menyertai program NS sebagai tentera kerahan.
Bagaimana pun, di Singapura dikatakan ramai pegawai Melayu bertugas dalam pasukan pertahanan awam (Civil Defence) yang mana kecekapan pasukan itu disifatkan sebagai antara yang terbaik di rantau ini.-airtimes.my
#Singapura #Malaysia #Melayu #airtimes
Kes jenayah ke atas Faisal Halim mesti ditegakkan, bela atlet negara
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kes serangan simbah asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) adalah sesuatu yang amat mengecewakan.
Ini bukan sahaja kepada ahli keluarga Faisal tetapi juga seluruh peminat sukan bola sepak di negara ini.
Faisal, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 yang mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei tahun lalu telah mengubah hidupnya.
Walaupun kembali beraksi di padang, namun beliau masih trauma dengan apa yang menimpa dirinya.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, bukan sahaja kos rawatan, tetapi lebih berat ialah tekanan psikologi yang dihadapi sepanjang hidupnya. Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan?
Justeru tegasnya, keadilan wajib ditegakkan dan mana-mana pesalah perlu dihukum mengikut undang-undang.
“Ini penting bukan sahaja bagi menuntut keadilan buat mangsa, tetapi juga bagi memelihara imej negara khususnya dari aspek meyakinkan dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara selamat.
“Ini termasuklah sebagai lokasi pilihan bagi penganjuran acara sukan antarabangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media.
Justeru, Pemuda MCA menyeru Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalannya, Adam Adli untuk mengambil tindakan segera.
Mereka perlu mendapatkan kerjasama Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Undang-undang, Dato’ Seri Azalina Othman Said supaya membuka semula siasatan kes ini.
Tegas Meow lagi, ia tidak cukup sekadar mengeluarkan kenyataan, sebaliknya ia memerlukan tindakan segera.
“Dengan mengklasifikasikan kes ini sebagai NFA, ia berupaya mendorong persepsi salah dikalangan orang ramai dimana penjenayah bebas melakukan apa sahaja tanpa dikenakan hukuman.
“Jika negara tidak mampu menjaga dan membela pemain bola sepak yang bersinar seperti Mickey, siapa lagi yang boleh kita harapkan?,” soal beliau.
Faisal mencipta sensasi dengan gol menariknya itu apabila berjaya ‘menipu’ pertahanan dan penjaga gol Korea termasuk pemain yang beraksi bersama Bayern Munich, Kim Min-jae sebelum menjaringkan gol.
Perlawanan pada peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 itu mencipta kejutan tersendiri apabila Malaysia hampir menewaskan Korea sebelum mengikat dengan keputusan 3-3.-airtimes.my
#semasa #airtimes #Malaysia
IPOH, 7 Mei – Satu garis panduan akan diperkenalkan kerajaan negeri Perak bagi membolehkan tapak-tapak keagamaan di kawasan gua mengikut peraturan yang ditetapkan.
Sebelum ini rumah ibadat sedemikian beroperasi tanpa rujukan dasar yang jelas.
Kerangka panduan yang julung-julung kali diadakan ini bagi membolehkan permohonan secara sah, selamat dan berlandaskan prinsip pembangunan mampan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng berkata, perkara itu dijelaskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak.
Katanya, mesyuarat ini telah memuktamadkan Garis Panduan Pembangunan dan Keselamatan Rumah Ibadat dalam Gua.
Ia menggariskan prosedur permohonan, syarat teknikal keselamatan serta tanggungjawab pematuhan oleh pihak berkaitan.
“Penubuhan jawatankuasa khas ini bertujuan menyelesaikan isu berlarutan dengan penuh kebertanggungjawaban dan mengutamakan keselamatan awam.
“Kerangka ini bukan sahaja membuka laluan pematuhan bagi rumah ibadat dalam gua sedia ada, malah menyediakan rujukan jelas untuk sebarang pembangunan pada masa hadapan,” ujarnya menerusi hantaran pada laman Facebook rasmi beliau.
Ketika ini terdapat 14 rumah ibadat dalam gua yang berada di atas tanah kerajaan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng berkata, penubuhan jawatankuasa khas ini bertujuan menyelesaikan isu berlarutan dengan penuh kebertanggungjawaban dan mengutamakan keselamatan awam
Bagaimana pun tegas Sandera, kesemua pengendali 14 rumah ibadat tersebut telah dimaklumkan secara rasmi agar tidak menjalankan sebarang kerja pembinaan buat masa ini.
Ia sementara pihak jawatankuasa memuktamadkan garis panduan.
“Laporan mendapati masih ada yang melanggar arahan tersebut. Tindakan lanjut akan diambil berdasarkan undang-undang demi menjamin keselamatan awam.
“Kerajaan negeri Perak menghormati kebebasan beragama, namun prinsip keselamatan dan kedaulatan undang-undang tetap harus diutamakan.
“Kami percaya penyelesaian terbaik ialah melalui kerangka sah yang inklusif dan lestari ke arah keseimbangan antara pemeliharaan warisan dan pembangunan,” ujar beliau.
Perak khususnya di Ipoh mempunyai banyak rumah ibadat di dalam gua yang kebanyakannya wujud sejak sebelum era kemerdekaan turut menjadi lokasi tumpuan pelancongan.
Kuil Sam Poh Tong (juga dikenali sebagai Gua Tiga Buddha) ialah kuil Cina yang dibina di dalam gua batu kapur dan merupakan kuil gua tertua dan utama di Ipoh.
Berdekatan dengan kuil ini yang juga di dalam gua ialah Ling Sen Tong Temple dan Gua Guanyin.
Perak Tong Temple pula merupakan salah satu kuil gua yang terkenal di Ipoh yang wujud pada tahun 1926.
Nam Thean Tong pula merupakan salah satu kuil gua tertua di Ipoh iaitu sejak tahun 1867.-airtimes.my
#semasa #airtimes #gua #rumahibadah #Malaysia
Pekebun durian haram Raub ingin ke meja rundingan selesaikan isu pencerobohan?
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Isu pencerobohan tanah kerajaan oleh pekebun haram durian musang king di Raub, Pahang yang mendapat perhatian rakyat seluruh negara sejak bulan lalu dikatakan sedang mencari jalan untuk ke meja rundingan.
Ini berdasarkan satu hantaran menerusi laman Facebook atas nama Ronnie Liu Tian Khiew dipercayai milik bekas ahli politik veteran PH-DAP, Ronnie Liu.
Sejak semalam, hantaran tersebut dengan menunjukkan satu dokumen bertulis ‘FARMERS/GROWERS WITHOUT LEGAL STATUS – TERM SHEET’ tular di media sosial sehingga dikongsikan banyak pihak.
Ronnie, bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP juga sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Selangor.
Pada paparan tersebut, beliau menulis tujuh perkara secara nota dalam bahasa Inggeris berhubung pandangan terhadap isi dokumen tersebut yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu bertulis,
Pandangan saya
1. Kontrak tidak berat sebelah
2. Ia adalah penyelesaian menang-menang untuk kerajaan negeri Pahang, syarikat lantikan negeri (RPD durian resources pkpp sdn bhd) dan petani tanpa status sah.
3. Ia adalah penyelesaian jangka panjang, 30 tahun campur 30 tahun.
4. Tiada lagi penebangan pokok.
5. Semua ladang sedang dihalalkan.
6. Tidak menoleh ke belakang (tiada lagi hujah siapa yang betul dan siapa yang salah)
7. Boleh menjadi penanda aras untuk menyelesaikan masalah lain yang serupa yang dihadapi oleh negeri dan petani. (jumlah keluasan ladang durian tanpa status sah… Lebih 12,000 ekar)
Bagaimana pun, sejauhmana kesahihan tentang andaian pekebun durian ingin ke meja rundingan tidak dapat dipastikan.
Sebelum itu, menerusi hantaran beliau pada 11 April, Ronnie turut memberikan pandangan susulan operasi penguatkuasaan menebang pokok durian musang king di Sungai Ruan, Raub melibatkan kawasan seluas kira-kira 2-2.3 hektar.
Tulis beliau,
“Tebang pokok durian bukan penyelesaian yang baik.Rundingan seharusnya dimulakan walaupun agak lewat. Mahkamah Rayuan telah meminta semua pihak berunding di luar mahkamah pada tahun yg lalu.
“Mengapa tidak ada usaha atau minat drpd mana-mana pihak utk berunding? Perkara ini tidak masuk akal. Petani bukan musuh kerajaan dan Kerajaan bukan musuh petani. Syarikat gabungan swasta dan negeri pun bukan musuh petani.
“Apa salahnya duduk bersama di meja runding? DAP bukan lagi parti pembangkang. Sebagai anggota kerajaan di peringkat negeri dan juga perlngkat pusat, DAP ada kuasa dan kedudukan uuntuk mencari penyelesaian atau solusi yang lebih baik melalui rundingan.
“Bukan semata-mata meminta pemberian tanah kerajaan atau hutan simpan percuma kepada para petani. Cuma berusaha mencapai satu kaedah penyelesaian yang dianggap lebih baik daripada kaedah yang sedia ada.
“Bukankah ini tanggungjawab sebagai wakil rakyat, pemimpin politik dan anggota kerajaan yang bertanggungjawab?,” ujarnya.-airtimes.my
#semasa #kebundurian #Raub #pekebun #airtimes #Malaysia
Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan penting demi keselamatan negara
LUMUT, 4 MEI – Pembinaan Pusat Latihan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sitiawan merupakan satu keperluan strategik yang dibuat oleh kerajaan atas kepentingan keselamatan negara.
Pemilihan lokasi itu juga diyakini atas pertimbangan dan kajian yang teliti dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keselamatan.
Ketua Armada Bahagian Lumut, Syed Alif Rikiman Syed Alwi berkata, pembinaan Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan adalah penting demi kepentingan negara.
Menurut beliau, rancangan pembinaan itu juga telah dibuat Kementerian Pertahanan (MINDEF) sejak tahun 1990-an pada masa Sitiawan belum lagi membangun seperti hari ini.

Pusat Latihan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia penting untuk meneruskan legasi serta peranan mereka dalam mempertahankan negara. Foto: TLDM
“Saya percaya pihak MINDEF telah membuat kajian yang teliti sebelum merancang ditempatkan di lokasi strategik untuk TLDM menjalani latihan.
“Kebimbangan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Astaka, Jason Ng Thien Yeong bahawa boleh berlaku kemalangan (udara) seperti nahas di Pangkalan Lumut umpama tidak memberi kepercayaan kepada TLDM.
“Beliau tidak seharusnya menimbulkan situasi membimbangkan kepada rakyat Sitiawan sehingga menakutkan-nakutkan supaya membuat bantahan cadangan dan tanah tersebut ditukar ke tempat lain.
“Saya menyokong perancangan yang dibuat oleh TLDM adalah muktamad dan untuk menjaga keamanan negara Malaysia yang harmoni,
“Armada Lumut tidak bersetuju dengan bantahan yang dibuat oleh Jason yang mengusarkan rakyat setempat demi kepentingan politik,” ujarnya.

Rancangan pembinaan Pusat Latihan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sitiawan telah pun dirancang pada era 1990-an.
Media semalam melaporkan pemimpin DAP ini meminta Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan dibina di tempat lain atas alasan boleh mengundang isu keselamatan kepada penduduk.
ADUN Astaka ini menyuarakan perkara itu semasa menyampaikan perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh minggu lalu.
Video perbahasan tersebut dimuat naik pada laman Facebook beliau yang menggunakan nama sama.
Tegas Syed Alif Rikiman, alasan bahawa kewujudan Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan boleh mencetuskan isu kacau ganggu dan mengundang bahaya dilihat sebagai tidak berasas.
Ini kerana katanya, jika alasan sedemikian bermakna semua lapangan terbang yang ada di negara ini perlu dipindahkan ke tempat lain demi keselamatan penduduk.

Ketua Armada Bahagian Lumut, Syed Alif Rikiman Syed Alwi berkata, pembinaan Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan adalah penting demi kepentingan negara.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Azlan Shah, Ipoh misalnya dikelilingi kawasan perumahan yang mana pesawat turun naik setiap hari.
“Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara milik PDRM juga letaknya bersebelahan, setiap masa helikopter polis menjalani latihan di sini.
“Jika alasan keselamatan, beliau sebagai ahli politik kerajaan boleh cadangkan kepada kerajaan negeri supaya mohon lokasi LTSAS ini diubah dan dibina jauh-jauh daripada kediaman penduduk,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TLDM
Penduduk bantah pembinaan Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan
IPOH, 3 Mei -Seorang ahli politik kerajaan daripada PH-DAP, Jason Ng Thien Yeong meminta Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan dibina di tempat lain atas alasan boleh mengundang isu keselamatan kepada penduduk.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Astaka ini menyuarakan perkara itu semasa menyampaikan perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh minggu lalu.
Video perbahasan tersebut dimuat naik pada laman Facebook beliau yang menggunakan nama sama.
Menurut beliau, cadangan pembinaan Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan mengundang dilema kepada ribuan penduduk yang mendiami kawasan di situ.

Jason Ng Thien Yeong menyuarakan kebimbangan beliau mengenai pembinaan Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan. Foto: FB Jason/ Adun ASTAKA
Sebelum ini, status kawasan tersebut telah ditukar sebagai kediaman dan susulan itu banyak kawasan perumahan telah dibangunkan tetapi kemudian telah dimohon kembali kepada status institusi bagi membina pusat latihan tersebut.
Katanya, lebih 800 penduduk telah menghantar bantahan mereka kepada pihak berkuasa tempatan memohon kerajaan negeri Perak menyemak semula cadangan berkenaan.
“Antara sebab-sebab yang diutarakan termasuklah faktor keselamatan dan kacau ganggu yang akan disusuli selepas pembinaan pusat latihan udara tersebut. Kita tidak pernah lupa lagi pada tahun lepas ada satu insiden kemalangan dua helikopter di TLDM yang menyebabkan kehilangan 10 nyawa.
“Penduduk-penduduk di sana amat khuatir pada insiden yang sama akan diulangi dan membawa risiko kepada rumah-rumah, sekolah, tempat ibadat yang ada di kawasan tersebut,” ujarnya.
Jelas pemimpin DAP itu lagi, kewujudan Pusat Latihan Udara TLDM boleh menyebabkan masalah kacau ganggu serta membawa risiko kepada rumah-rumah, sekolah, tempat ibadat yang ada di kawasan tersebut.

Kerajaan Perak diminta untuk pertimbangkan penempatan Pusat Latihan Udara TLDM di Sitiawan atas faktor keselamatan. Foto: FB JASON/Adun ASTAKA
Katanya, lokasi cadangan pembinaan Pusat Latihan Udara TLDM itu juga merupakan satu-satunya tanah kosong yang tinggal berdekatan dengan pekan Sitiawan yang boleh dibangunkan sebagai bandar satelit pekan Setiawan.
Oleh itu, Jason mencadangkan kerajaan negeri memohon tanah pusat latihan udara tersebut ditukar (land swap) dengan tanah kerajaan lain yang sesuai. Ini supaya pusat latihan tersebut dibina di tempat jauh daripada kawasan perumahan dan tanah tersebut dibangunkan untuk mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri. – airtimes.my
