Home Pertahanan dan KeselamatanTentera DaratKolumnis: Kedangkalan ahli politik cerminan sikap dungu terhadap institusi ketenteraan

Kolumnis: Kedangkalan ahli politik cerminan sikap dungu terhadap institusi ketenteraan

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Tiada isu sebenarnya tentang kenaikan pangkat Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng kepada jeneral tiga bintang.

Kenaikan pangkat beliau kepada Leftenan Jeneral (Lt Jen) memang tepat pada masanya sesuai dengan perkhidmatan selama 40 tahun dalam ATM khususnya Tentera Darat.

Lt Jen Johnny Lim yang ditauliahkan ke dalam Rejimen Renjer Diraja (RRD) juga merupakan generasi akhir pegawai Tentera Darat yang pernah melalui era Insurgensi memerangi pengganas komunis.

Seharusnya pelantikan tersebut diraikan sebagai satu pencapaian institusi.

Namun, seperti biasa, ada tangan-tangan politik yang tidak bertanggungjawab cuba mempolitikkan kenaikan pangkat tersebut.

Ia satu tindakan yang bukan sahaja cetek dari sudut pemikiran, malah dibimbangi merosakkan persepsi terhadap ATM sebagai institusi profesional dan bebas dari campur tangan politik.

Lt. Jen. Johnny Lim bukanlah individu sembarangan yang ‘diberi laluan khas’ atas faktor kaum atau agenda politik tertentu.

Karier beliau dalam ATM panjang dan mencabar termasuk latihan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom serta pengalaman luas di dalam dan luar negara dalam bidang ketenteraan.

Kepakaran beliau dalam pelbagai aspek daripada operasi medan hingga latihan strategik serta kelayakan akademik dalam dan luar negara.

Lebih membanggakan, beliau menguasai pelbagai bahasa termasuk Korea dan Sepanyol meletakkan kedudukan beliau sebagai pegawai tentera bertaraf dunia.

Maka tidak timbul soal ‘pilihan istimewa’ atau ‘simbolik kaum’ dalam pelantikan ini, ia semata-mata pengiktirafan terhadap kompetensi.

Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 22 Jun lalu.

Malangnya, sesetengah ahli politik memilih untuk memutarbelitkan naratif ini ke arah sentimen perkauman atau agenda politik sempit.

Ada yang mempertikaikan sama ada kenaikan pangkat ini ‘adil’, kononnya cuba menilai merit melalui lensa kaum dan bukan prestasi.

Ada pula yang memberi respons hanya untuk menonjolkan diri sendiri seolah-olah mereka ‘juara’ keadilan kaum, tanpa memahami konteks sebenar dalam struktur ATM.

Tindakan ini, sama ada disengajakan atau tidak, adalah tidak profesional dan tidak berintegriti.

Ia menunjukkan betapa ceteknya pemahaman sesetengah pihak terhadap institusi ketenteraan.

Lebih parah lagi, ia membuka ruang untuk campur tangan politik dalam hal yang sepatutnya bebas dari sebarang pengaruh luar.

Ironinya, ramai daripada mereka yang lantang bersuara ini langsung tidak peduli terhadap nasib sebenar ATM.

Mereka tidak pernah menyuarakan isu-isu kritikal seperti keperluan peralatan moden, latihan berskala besar, atau peningkatan belanjawan pertahanan.

Tidak hairanlah peruntukan ketenteraan negara masih kecil dan terhad, kerana wakil rakyat tidak menekankan kepentingannya dalam Parlimen.

Jika benar mereka prihatin terhadap ATM, mereka sepatutnya mendesak kerajaan untuk meningkatkan dana pertahanan dan memperjuangkan transformasi sistem pertahanan negara menghadapi ancaman moden

Kenaikan pangkat Lt. Jen Johnny Lim juga menjadi bukti jelas bahawa ATM tidak mengamalkan sistem kuota kaum.

Peluang terbuka kepada semua sama ada Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan lain-lain asalkan mereka layak dan berkhidmat dengan cemerlang.

Ini adalah mesej penting yang perlu difahami oleh rakyat Malaysia kerana ATM ialah cerminan terbaik perpaduan nasional dan profesionalisme, bukan tempat untuk permainan perkauman.

Kenaikan pangkat Lt Jen Johnny Lim adalah kejayaan negara, satu simbol bahawa sesiapa pun, tanpa mengira bangsa, boleh menggapai kejayaan.

Ahli politik berhentilah mencemari institusi-institusi profesional seperti ATM dengan tidakan kurang cerdik.-airtimes.my

#ATM #pangkat #kaum #Malaysia #TDM #LtJenJohnnyLim #airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply