SINGAPURA, 2 Jul – Batalion Komando Pertama (1 CDO BN) dinobatkan sebagai Unit Tempur Terbaik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bagi tahun ini dan kali ke-22 berturut-turut dalam kategori berprestij itu.
Pengumuman rasmi dibuat oleh Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) bagi mengiktiraf kecemerlangan berterusan unit elit itu yang beroperasi sebagai pasukan khas SAF.
1 CDO BN yang dikenali dengan pemakaian beret merah mereka itu dilatih bagi pelbagai misi termasuk operasi lintas udara, peninjauan dan serbuan.
Secara keseluruhan, 1 CDO BN telah meraih 39 kemenangan sejak pertandingan penilaian unit SAF bermula pada tahun 1969.
Unit elit ini juga merupakan satu-satunya pasukan komando dalam SAF.
Dalam kenyataannya, Komander 1 CDO BN, Leftenan Kolonel Kok Yi Long berkata, pencapaian tersebut bukan satu kebetulan tetapi hasil budaya kecemerlangan yang telah dibina dan dikekalkan sekian lama.
“Standardnya tinggi, dan di situlah kami berhasrat untuk mengekalkannya,” katanya.
Menurut beliau, setiap anggota komando memberi komitmen penuh terhadap misi unit, sanggup menolak batas keupayaan secara terkawal dan tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian semasa.
“Ia adalah mengenai budaya yang dibina dari semasa ke semasa, dikekalkan oleh kerja berpasukan, disiplin dan komitmen yang tidak berputus asa untuk kecemerlangan,” tambahnya.
Sementara itu, penyampaian anugerah kepada semua unit yang menang akan dibuat pada 1 Julai ini sempena Perarakan Hari SAF di Institut Tentera Safti.
Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam dan Menteri Pertahanan, Chan Chun Sing akan menyampaikan anugerah kepada unit-unit terbaik tahun ini.
Penganugerahan ini bertujuan mengiktiraf kecemerlangan, disiplin dan kesiapsiagaan tinggi dalam kalangan unit-unit SAF, selaras dengan usaha mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Singapura.
Sebanyak 18 unit aktif dan 12 unit perkhidmatan negara (NS) akan diiktiraf atas kecemerlangan dalam pelbagai kategori.
Antara penerima anugerah lain termasuk Unit Sokongan Tempur Terbaik kepada Batalion Komando Kawalan, Komunikasi, Komputer dan Perisikan (C4I) ke-17
Skuadron 811 pula diumumkan Unit Kejuruteraan Udara Terbaik, Batalion Komando C4I ke-114 (Unit NS C4I Terbaik) dan Batalion ke-489, Rejimen Berperisai Singapura (Unit Perisai NS Terbaik).
Skuadron 142 berpangkalan di Pangkalan Udara Paya Lebar menerbangkan pesawat F-15SG pula diumumkan sebagai Skuadron Pejuang Terbaik untuk tahun kedua berturut-turut dan kali keempat sejak penubuhannya pada 1974.-airtimes.my
#Singapura #komando #airtimes #pertahanan