KUALA LUMPUR, 20 Jun – Kritikan, pandangan dan cadangan yang dibuat ke atas kerajaan bukanlah cubaan menabur fitnah, sebaliknya berdasarkan fakta dan demi kepentingan rakyat.
Ia juga perlu dilihat sebagai semak dan imbang kepada kerajaan kerana setiap isu yang diketengahkan adalah jelas.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, MCA tampil dengan pendirian yang jelas iaitu mengkritik dasar, bukan untuk bermain politik atau menabur fitnah.
“Misalnya, dalam isu cukai terhadap perubatan tradisional dan komplementari (TCM), MCA lantang bersuara dan akhirnya kerajaan buat pusingan-U, TCM tidak dikenakan cukai perkhidmatan seperti diwartakan sebelum ini.
“Ini membuktikan kritikan konstruktif mampu membuahkan hasil. MCA kritik bukan suka-suka, MCA kritik demi kepentingan rakyat.
“Begitu juga dengan isu-isu besar lain seperti penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) oleh KWSP yang menyebabkan kerugian antara RM500 juta hingga RM700 juta.
“Skandal MyKiosk, dan arahan kerajaan kepada syarikat telekomunikasi supaya menyerahkan data peribadi pengguna. Semua ini dibangkitkan MCA atas semangat tanggungjawab,” ujarnya.
Bagaimana pun kata Neow, kritikan-kritikan membina ini tidak dapat diterima oleh segelintir pemimpin dalam PH.
Jelas beliau, Menteri daripada DAP secara semberono dan angkuh menyatakan mahu ‘mencari’ TikTokers yang membangkitkan isu MyKiosk.
Bukan itu sahaja, pemimpin Pemuda MCA turut dipanggil ke Bukit Aman hanya kerana mempersoalkan dasar kerajaan.
“MCA tidak pernah meminta tempat dalam Kabinet. Sokongan kepada Kerajaan Perpaduan adalah berdasarkan prinsip kestabilan, bukan demi jawatan.
“Menyokong kerajaan tidak bererti kita perlu jadi ‘yes man’ setiap masa. Sehingga ke saat ini, MCA tetap dalam Barisan Nasional dan tidak berubah pendirian sejak dari awal penubuhannya.
“Tiada kerajaan yang sempurna. Namun apabila kerajaan menambah hutang negara sebanyak RM234.2 bilion dalam tempoh hanya 30 bulan, menaikkan nisbah hutang kepada kepada KDNK daripada 60.3% ke 65.5% pada akhir suku pertama 2025, yang jelas menunjukkan kegagalan pengurusan fiskal.
“Dalam masa yang sama, kerajaan turut dilihat menyekat suara yang berbeza dengan mereka. Rakyat berhak bertanya, ke mana arah negara ini?,” soal beliau.
Sebagai parti politik yang bertanggungjawab dan prihatin, kata Neow, MCA akan terus bersuara, bukan kerana inginkan kuasa, tetapi kerana sayangkan negara.-airtimes.my
#AirTimes #MCA #PolitikMalaysia #KerajaanPerpaduan #SuaraRakyat