KUALA LUMPUR, 7 Jun – Malaysia menyatakan kesediaan untuk mengikuti rapat serta memberikan kerjasama dalam rundingan sempadan antara Thailand dan Kemboja yang dijadual berlangsung pada 14 Jun ini di Phnom Penh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyokong penuh langkah kedua-dua negara jiran itu untuk menyelesaikan pertikaian secara aman menerusi rundingan, sejajar dengan prinsip dialog dan diplomasi serantau.
“Saya bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri (Thailand dan Kemboja), mereka telah mengambil beberapa langkah yang kita sokong iaitu rundingan pada 14 Jun ini mengenai sempadan Thailand-Kemboja,
“Saya sedia mengikuti dan memberi kerjasama yang diperlukan. Setakat ini, kedua-dua kerajaan mengambil sikap yang positif untuk meneruskan rundingan secara baik,” katanya selepas menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 15,000 jemaah di Masjid Putra, Putrajaya, hari ini.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja memuncak berikutan insiden pertempuran di wilayah Preah Vihear pada 28 Mei lalu yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja. Susulan itu, Phnom Penh menyatakan hasrat untuk membawa pertikaian tersebut ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Bagaimanapun, Thailand menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan isu sempadan tersebut melalui saluran damai, berlandaskan undang-undang antarabangsa serta perjanjian dan memorandum yang telah dipersetujui sebelum ini.
Rundingan yang akan berlangsung menerusi platform Suruhanjaya Sempadan Bersama itu menjadi medan penting dalam meredakan ketegangan dan mencari penyelesaian jangka panjang.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk menyokong usaha negara anggota dalam memastikan kestabilan dan keselamatan serantau dikekalkan.-airtimes.my
#Malaysia #Thailand #Kemboja #Anwar #airtimes #semasa



