Home Pertahanan dan KeselamatanLatihan PERHEBAT beri nafas kedua, lebih 65 peratus veteran ATM kini usahawan – Khaled Nordin

Latihan PERHEBAT beri nafas kedua, lebih 65 peratus veteran ATM kini usahawan – Khaled Nordin

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Seramai 65.4 peratus veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengikuti program latihan anjuran Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT) berjaya menceburi bidang keusahawanan atau bekerja sendiri selepas bersara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pencapaian itu adalah sebahagian daripada 72 peratus peserta keseluruhan yang berjaya mendapat pekerjaan setelah menamatkan latihan peralihan kendalian PERHEBAT.

“Daripada jumlah veteran yang berjaya memperoleh pekerjaan, 65.4 peratus memilih menjadi usahawan atau bekerja sendiri, manakala 34.6 % pula bekerja di bawah majikan,

“Meskipun pencapaian ini memberangsangkan, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan dan pemantapan yang perlu kita usahakan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program RPEL) dan Sijil PERHEBAT, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar PERHEBAT perlu menyelidik dengan lebih teliti dan mendalam faktor-faktor yang menyebabkan kira-kira 28 peratus daripada veteran yang terlibat masih belum mendapat pekerjaan.

“Ini bermakna, kita mesti sentiasa terbuka untuk menyemak kandungan latihan, pendekatan yang digunakan serta proses latihan peralihan ini dilakukan. Ia mesti mengikut corak pasaran semasa, terkini dan tidak lapuk,

“Kita mesti berlapang dada dan sentiasa bersikat terbuka untuk menerima hakikat bahawa masih banyak ruang penambahbaikan dan pemantapan yang perlu kita usahakan demi memperluas manfaat PERHEBAT kepada warga veteran kita,” ujarnya lagi.

Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa PERHEBAT perlu terus menjadi institusi dinamik yang bukan sekadar melatih bakal pesara ATM, tetapi membina keupayaan mereka untuk berdikari, berdaya saing dan berperanan sebagai penggerak ekonomi negara.

“PERHEBAT mesti memainkan peranan penting dalam memastikan anggota yang bersara tidak terumbang-ambing, sebaliknya mampu hidup secara mandiri dan tidak bergantung kepada kerajaan untuk kelangsungan hidup,” ujarnya lagi.

Terdahulu, seramai 3,473 anggota ATM diraikan kerana berjaya menamatkan Latihan Peralihan, manakala 514 peserta dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia melalui Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL).

Sejak tahun 2017, PERHEBAT telah melaksanakan RPEL yang memberi peluang kepada anggota dan veteran ATM untuk menamatkan perkhidmatan dengan mempunyai diploma. -airtimes.my

#pertahanan #PERHEBAT #ATM #pesara #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply