LANGKAWI, 21 Mei – Usaha memperkasa anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diperkukuh apabila Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) hari ini.
Kerjasama tersebut merupakan kesinambungan kepada Program Latihan Kemahiran Anak ATM & Anak Veteran (LAKSAMANA) yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2023.
Program ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sektor pertahanan yang memberi fokus kepada latihan kemahiran teknikal secara berstruktur serta jaminan penempatan kerja menerusi pendekatan ‘train and place’.
LAKSAMANA 3.0 dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga kerja mahir dalam kalangan anak-anak warga dan veteran ATM, selaras dengan perkembangan era digital dan kecerdasan buatan (AI).
Antara industri tumpuan termasuk minyak dan gas, aeroangkasa, pembuatan, perkapalan dan tenaga – semuanya sejajar dengan aspirasi negara dalam Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
Majlis menandatangani MoU menyaksikan Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Dato’ Dr. Mohd Nizar Sudin dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Rushdi Abdul Rahim serta disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YLTAT, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara), Pengerusi Bersama (Kerajaan) MIGHT, Prof Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid serta Ketua Eksekutif LTAT, Encik Mohammad Ashraf Md Radzi.
Yayasan LTAT dan MIGHT menyatakan komitmen untuk terus menerajui inisiatif pembangunan kemahiran berimpak tinggi seperti LAKSAMANA dan program lain yang menyokong pembangunan modal insan berkualiti untuk keperluan sektor pertahanan dan teknologi negara.-airtimes.my
#airtimes #LIMA25 #YayasanLTAT #MIGHT #pertahanan #Langkawi