KUALA LUMPUR, 6 Jun — Malaysia sentiasa mendukung penuh pendirian tegas Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan dalam memperjuangkan hak dan maruah rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berdiri teguh bersama Iran dalam menolak sekeras-kerasnya penjajahan dan pengusiran terhadap warga Gaza sekali gus menentang kekejaman Israel.
“Kami sepakat bahawa saat dunia masih memilih untuk membisu dan bersikap selektif terhadap penderitaan rakyat Gaza, kita tidak boleh berpeluk tubuh, Malaysia tentunya menyambut baik dan mendukung penuh pendirian Presiden Erdoğan untuk menggunakan segala wahana dan keupayaan yang ada bagi membela hak dan maruah rakyat Palestin,” katanya dalam hantaran di media sosial pada Jumaat.
Anwar berkata, perkara tersebut dibincangkan ketika panggilan telefon antara dua pemimpin itu, petang semalam.
Kedua-dua pemimpin turut menyentuh mengenai lawatan rasmi Presiden Erdoğan ke Malaysia baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai antara kunjungan paling bermakna dalam sejarah hubungan diplomatik kedua-dua negara.
“Ia bukan sekadar pertukaran protokol, tetapi disulami dengan rundingan substantif yang menyentuh kepentingan bersama,
“Saya melihat kunjungan itu sebagai manifestasi keserasian nilai dan hala tuju Malaysia dan Turkiye dalam menjunjung keadilan, kedaulatan dan pembangunan umat sejagat,” ujarnya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia beriltizam untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Turkiye dalam membawa suara umat Islam ke pentas antarabangsa.
“Dalam semangat Aidiladha—pengorbanan, keteguhan dan keyakinan terhadap seruan Ilahi—Malaysia akan terus berdiri bersama Turkiye dalam memungkinkan sebuah dunia yang lebih aman, adil dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#Malaysia #airtimes #Anwar #Turkiye
