SEOUL, 4 JUN – Korea Aerospace Industries (KAI) telah memeterai perjanjian bernilai AS$700 juta (RM3.3 bilion) dengan Jabatan Pertahanan Negara Filipina bagi membekalkan 12 unit pesawat pejuang FA-50PH tambahan kepada negara itu menjelang tahun 2030.
Perjanjian ini ditandatangani pada Rabu dan merupakan kesinambungan kepada penghantaran 12 jet FA-50PH yang telah diselesaikan oleh KAI kepada Filipina pada tahun 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif KAI, Kang Goo-young berkata, penambahan 12 pesawat ini akan memperkukuh keupayaan pengesanan serta keupayaan serangan Tentera Udara Filipina. Antara peningkatan utama termasuk kebolehan pengisian bahan api di udara, sistem radar jenis Active Electronically Scanned Array (AESA), serta persenjataan udara-ke-udara dan udara-ke-darat.
“FA-50 merupakan model yang terbukti di pasaran Asia. Operasi stabil oleh Filipina selama sedekad amat memberangsangkan dan membawa kepada eksport tambahan pesawat.
“KAI akan terus memperluas kehadirannya dalam industri pertahanan global menerusi naik taraf bersesuaian dan sokongan susulan kepada pelanggan,” katanya.
Dalam masa sama, KAI turut menyatakan komitmen mereka untuk meluaskan saluran eksport menerusi pelbagai platform lain termasuk helikopter utiliti Surion, Helikopter Bersenjata Ringan (LAH), serta jet pejuang generasi baharu, KF-21.
Selain itu, Malaysia turut menjadi antara pembeli model ini selepas memperoleh 18 unit FA-50 pada tahun 2023.
Perkembangan ini memperlihatkan permintaan konsisten terhadap pesawat buatan Korea Selatan itu di rantau Asia Tenggara, malah membuka potensi pembelian baharu dari negara-negara di Eropah, Timur Tengah dan Amerika Selatan. -airtimes.my
#FA50 #KAI #Filipina #TenteraUdaraFilipina #PerjanjianKetenteraan #Airtimes
