Home SemasaTiga kapal perang TLDM pernah digeruni dilucutkan tauliah bagi proses pemodenan

Tiga kapal perang TLDM pernah digeruni dilucutkan tauliah bagi proses pemodenan

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

LUMUT, 5 JUN – Tiga kapal perang yang pernah menjadi aset berbisa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilucutkan tauliah sebagai sebahagian daripada proses transformasi armada tersebut.

KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Laksamana Tan Pusmah dan KD Pendekar merupakan antara kapal perang peluru berpandu paling ampuh pada eranya.

KD Laksamana Tun Abdul Jamil dan KD Laksamana Tan Pusmah merupakan korvet kelas Laksamana yang dibina di Itali pada 1982 sebelum ditauliahkan pada 1997 dan 1999.

Kedua-duanya diletakkan dalam Skuadron Kapal Korvet Ke-24 bersama dua lagi kapal sama iaitu KD Laksamana Hang Nadim dan KD Laksamana Muhamad Amin.

Dilengkapi peluru berpandu antikapal Otomat, sistem pertahanan udara Aspide dan torpedo antikapal selam Alenia ILAS-3 menjadikan korvet kelas Laksamana ini sangat digeruni.

Korvet kelas Laksamana pernah digerakkan semasa negara berdepan konflik maritim yang mana kehadiran kapal peluru berpandu ini telah mengendurkan ketegangan.

Kebolehan korvet kelas Laksamana bagaimana pun berubah apabila TLDM melucutkan sistem peluru berpandu Otomat pada kapal-kapal ini beberapa tahun lalu.

KD Pendekar yang dikenali sebagai kapal kelas Skuadron Kapal Pembinasa Laju Pertama (FAC 1) dilancarkan pada 1978 dan ditauliahkan 1979 menjadi kapal peronda tertua dimiliki TLDM iaitu lebih 4 dekad.

Kapal ini telah mencatatkan jarak pelayaran sebanyak 820,077.64 batu nautika dan menjadikannya antara aset TLDM yang paling banyak beroperasi di lautan.

Hayat KD Pendekar malangnya berakhir tragis apabila ia karam ketika melaksanakan rondaan akibat bocor semasa menghampiri pesisir pantai Johor pada 25 Ogos 2024.

Terdahulu, majlis pelucutan penuh tradisi tentera laut itu disempurnakan oleh Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain di tambatan Pangkalan TLDM Lumut di sini. Turut hadir dalam upacara adalah mantan pegawai memerintah dan warga kapal.

Kemuncak acara adalah ketukan loceng dan penurunan gada-gada bagi ketiga-tiga kapal sebagai simbolik penamatan tauliah dan status aktif kapal-kapal tersebut.

Pelucutan tauliah bagi ketiga-tiga kapal ini adalah sebahagian daripada rancangan pemodenan armada TLDM selaras dengan Program Transformasi TLDM 15 ke 5.

Program ini diwujudkan bagi mendapatkan pulangan pelaburan yang terbaik seiring dengan pemodenan TLDM dalam memenuhi keperluan pertahanan maritim negara.

TLDM kini dalam persediaan menerima aset-aset baharu iaitu kapal tempur pesisir (LCS) dan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 yang sedang disiapkan.

Dua LCS pertama iaitu KD Maharaja Lela dan KD Raja Muda Nala akan diserahkan pada tahun hadapan diikuti 3 buah LMS yang dibina syarikat STM Türkiye.

Penerimaan kapal-kapal baharu tersebut bagi memastikan keupayaan pertahanan laut negara terus kukuh dan relevan. Tiga lagi LCS dalam pembinaan yang mana kapal terakhir dijangka diserahkan kepada TLDM pada 2029. -airtimes.my

#AirTimes #TLDM #kapal #pertahanan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply