LONDON, 5 JUN – United Kingdom (UK) bakal mendermakan 100,000 dron kepada Ukraine menjelang April 2026 sebagai sebahagian daripada bantuan ketenteraan bernilai £350 juta (anggaran RM1.9 bilion).
Setiausaha Pertahanan UK, John Healey berkata, inisiatif ini menandakan komitmen tegas negaranya dalam memperkukuh pertahanan Ukraine dalam menghadapi ancaman Rusia.
“UK mempertingkatkan sokongannya kepada Ukraine dengan menghantar ratusan ribu lagi dron tahun ini dan melengkapkan satu pencapaian utama dalam penghantaran peluru artileri yang kritikal,” katanya, pada Rabu dalam Sidang Kemuncak Kumpulan Perhubungan Pertahanan Ukraine (UDCG) di ibu pejabat NATO.
Pakej dron tersebut merangkumi teknologi canggih, termasuk dron (First-Person View, FPV), yang mampu melancarkan serangan tepat, dron pemintas untuk pertahanan udara Ukraine, serta dron berwayar gentian optik yang tahan gangguan isyarat oleh Rusia.
“Bantuan dron dan latihan intensif ini jelas menunjukkan komitmen UK untuk membantu Ukraine mempertahankan kedaulatan mereka dengan teknologi terkini,” jelasnya.
Jelas Healey lagi, kejayaan operasi menggunakan 117 dron dalam serangan ke atas pangkalan udara Rusia pada 1 Jun lalu, membuktikan keberkesanan teknologi ini dalam memberi impak besar di medan perang.
Selain itu, UK turut menyumbang 140,000 peluru artileri kepada Ukraine dan memperuntukkan tambahan £247 juta (anggaran RM1.3 bilion) bagi meluaskan program latihan ketenteraraan tahun ini di bawah Operasi Interflax secara menyeluruh.
Sementara itu, Perisikan Pertahanan UK menilai bahawa dron kini menyumbang kepada lebih banyak korban tempur di Ukraine, berbanding artileri sekaligus mencerminkan peranannya semakin penting dalam peperangan moden.
Pelaburan besar ini turut menggambarkan perubahan landskap peperangan dunia, di mana penggunaan dron dan teknologi autonomi menjadi pemacu utama kejayaan ketenteraan. – airtimes.my
#Airtimes #UK #Dron #FPV #Ukraine #Rusia
