LANGKAWI, 23 Mei – Keupayaan taktikal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menjalankan operasi di perairan negara ditonjolkan menerusi demonstrasi laut serta udara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25).
Pengunjung dipertontonkan dengan kebolehan aset milik APMM seperti Bot BENTENG, Bot PERKASA serta aset udara Helikopter AW139 dalam melaksanakan operasi berisiko tinggi termasuk pemintasan kapal, pengepungan taktikal serta misi penyelamatan yang kompleks.
Menurut Ketua Sekretariat segmen maritim LIMA’25, Laksamana Pertama Maritim Vincent A/L Rajamony, demonstrasi itu menampilkan pelbagai formasi taktikal yang digunakan APMM dalam menangani anasir-anasir yang cuba meloloskan diri daripada tindakan undang-undang.

Ketua Sekretariat segmen maritim LIMA’25, Laksamana Pertama Maritim Vincent A/L Rajamony berkata, demonstrasi yang ditunjukkan menampilkan formasi taktikal yang digunakan APMM dalam menangani menjaga kedaulatan negara. Foto: AirTimes/ZulFadhli
“Formasi dilaksanakan untuk menyekat bot-bot anasir. Kami juga tunjukkan bagaimana pengeledahan, tindakan pantas serta operasi menyelamat dijalankan menggunakan aset dan pasukan sedia ada,
“Keseluruhannya, kami menampilkan cara sebenar kami bertindak dalam pelbagai situasi operasi. Ini bukan sekadar persembahan, tetapi tugasan sebenar kami di,” katanya ketika ditemui Air Times di Resort World Langkawi (RWL), pada Khamis.
Tumpuan utama diberikan kepada keupayaan Pasukan Tindakan Khas Maritim (STAR Team), iaitu unit elit yang menjalani latihan asas bersama Pasukan Khas Laut (PASKAL), membolehkan mereka menjalankan operasi berisiko tinggi seperti serbuan dan penyelamatan tebusan.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Operasi Udara, Kapten Maritim Muhammad Al-Amin Hashim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Demonstrasi APMM berkata, gabungan elemen laut dan udara memberikan keunikan tersendiri kepada aksi taktikal kali ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Operasi Udara, Kapten Maritim Muhammad Al-Amin Hashim berkata, APMM melaksanakan demonstrasi taktikal dan bot kepada pengunjung segmen maritim sempena LIMA’25. Foto: AirTimes/ZulFadhli
“Sebanyak 16 aset digabungkan iaitu sebuah pesawat, satu kapal, lima bot PERKASA, tiga bot BENTENG dan tiga jet ski,
“Kita rancang demonstrasi ini sejak setahun lalu, termasuk tabletop dan latihan intensif pada 16 hingga 18 Mei sebelum acara sebenar hari ini,” katanya.
Muhammad Al-Amin menegaskan setiap pegawai dan pengendali aset diberikan peranan khusus di bawah kawalan komander masing-masing, sekaligus membuktikan tahap koordinasi dan kesiapsiagaan APMM berada di tahap tinggi.

Demonstrasi oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) mencerminkan tahap kecekapan dan profesionalisme anggota penguat kuasa agensi ini. Foto: AirTimes/ZulFadhli
“Demonstrasi ini membuktikan keupayaan sebenar kami. Malah, Ketua Pengarah Maritim sendiri berikan penghargaan ‘Bravo Zulu’ kepada semua pelaksana demonstrasi atas kecemerlangan mereka,” ujarnya.
Demonstrasi taktikal maritim ini merupakan antara acara tumpuan LIMA 2025 dan akan diteruskan pada keesokan harinya di Resort World Langkawi, bermula 5.15 petang.
Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan kecekapan taktikal APMM dalam menangani ancaman maritim sebenar.-airtimes.my
#keselamatan #airtimes #APMM #LIMA25 #Langkawi #Malaysia