Home SemasaLIMA’25: ATM penerima manfaat terbesar kolabrasi 3 negara bersama BHIC

LIMA’25: ATM penerima manfaat terbesar kolabrasi 3 negara bersama BHIC

by Suraya Aziz
A+A-
Reset

LANGKAWI, 21 MEI – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menjadi penerima manfaat terbesar hasil kolaborasi strategik antara Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) dan tiga rakan kongsi industri pertahanan antarabangsa.

Perjanjian tersebut merangkumi dua Perjanjian Rangka Kerja bersama PT Dirgantara Indonesia (PTDI) dan IPTN North America (INA, Inc.), serta satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Airbus Helicopters.

Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Feroz Razi Ramli berkata, kerjasama pelbagai hala ini memberi fokus jangka panjang terhadap pertahanan negara.

“Kami komited menyokong agenda kerajaan dalam membina infrastruktur pertahanan yang berdikari dan berdaya saing. Melalui perkongsian ini, BHIC berperanan sebagai pemudahcara kepada pembangunan teknologi dan latihan yang memberi manfaat langsung kepada ATM,” katanya ketika ditemui di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025.

Kerjasama ini dijangka memberi kelebihan kepada ATM dari aspek peningkatan keupayaan teknikal, pemindahan teknologi, serta pengukuhan ekosistem penyelenggaraan dan latihan tempatan.

Malah, usaha ini juga dilihat mampu mengurangkan kebergantungan jangka panjang kepada perolehan luar negara dengan membina keupayaan dalam negara.

Mengulas lanjut, kerjasama bersama PTDI dan INA, Inc. memberi tumpuan kepada pembangunan komponen aerostruktur, pembinaan kapasiti pengeluaran pesawat, serta usaha meningkatkan penggunaan sumber tempatan dalam rantaian bekalan.

Perjanjian itu turut merangkumi aspek pemindahan teknologi, perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta penyewaan pesawat.

Sementara itu, perjanjian dengan Airbus pula memberi tumpuan kepada penyediaan penyelesaian jangka masa panjang yang melibatkan helikopter bagi kegunaan ATM dan agensi kerajaan seperti peluasan latihan di Pusat Simulasi Helikopter Airbus (AHSC) di Malaysia.

Ini bakal menjadikan negara sebagai hab latihan helikopter di peringkat serantau untuk latihan dan pembangunan sistem helikopter.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani dalam satu majlis rasmi yang turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin. -airtimes.my

#AirTimes #BHIC #ATM #PTDI #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply