LANGKAWI, 22 MEI – Lumut Naval Shipyard (LUNAS) meneruskan langkah agresif memantapkan kedudukan dalam industri pertahanan negara apabila secara rasmi menandatangani beberapa kerjasama strategik bersama Savunma Teknolojileri Mühendislik (STM) di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Usaha ini membuka ruang kerjasama jangka panjang dalam bidang pemodenan platform ketenteraan laut serta pembinaan kapal generasi baharu.
Dalam perkembangan sama, LUNAS Langkawi Shipyard (LLS), turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Quickliner.
“Kerjasama ini menyokong strategi pemelbagaian LUNAS dan memberi penekanan kepada kitar hayat penuh aset maritim, bermula daripada fasa pembinaan sehingga ke pelupusan,” jelas kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi LUNAS untuk meluaskan penyertaan dalam sektor kejuruteraan berat dan aktiviti kitar semula kapal.
Menurut LUNAS, pihaknya komited untuk terus membangunkan industri maritim negara secara lestari dengan menyediakan perkhidmatan menyeluruh, meliputi sokongan teknikal, kejuruteraan dan penyelenggaraan selain memberi tumpuan terhadap keperluan sektor komersial dan pertahanan secara seimbang.
Selain itu, LUNAS turut menjalinkan kerjasama dengan Innoveam AVR bagi memperkukuh agenda transformasi digital syarikat, yang melibatkan integrasi teknologi canggih seperti persekitaran latihan imersif, sistem sokongan keputusan berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta pengoptimuman pembinaan kapal melalui analisis data.
“Kerjasama ini meletakkan LUNAS sebagai rakan teknologi yang selari dengan keutamaan pertahanan negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Pihak syarikat menegaskan, semua kerjasama yang dimeterai di LIMA 2025 mencerminkan iltizam LUNAS untuk terus kekal setanding dengan pemain industri pertahanan global dan fokus diberikan kepada kelangsungan aset maritim Malaysia agar sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan berkeupayaan tinggi.
Dengan pendekatan ini, LUNAS terus memacu pembentukan ekosistem pertahanan maritim yang moden dan berdaya tahan, sekaligus memperkukuh peranannya sebagai syarikat strategik utama dalam transformasi industri maritim negara. -airtimes.my
#AirTimes #LUNAS #STM #LLS #Quickliner #pertahananmaritim #LIMA2025 #Malaysia