LANGKAWI, 21 MEI – Langkah strategik yang diambil oleh PT Dirgantara Indonesia (PTDI) dan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) bukan sekadar satu perjanjian perindustrian, namun menjadi asas kepada pembentukan pakatan jangka panjang dalam memperkukuh kestabilan dan keupayaan pertahanan rantau Asia Tenggara.
Kedua-dua syarikat menandatangani satu Framework Agreement (FA) di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25), yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamed Khaled Nordin.
Presiden Pengarah PTDI, Gita Amperiawan berkata, penglibatan syarikat milik negara Indonesia itu di LIMA 2025 bukan sekadar untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan, sebaliknya turut mencerminkan komitmen mereka terhadap pembinaan kerjasama strategik di peringkat serantau.
“Perkongsian ini merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh sinergi antara Indonesia dan Malaysia dalam bidang aeroangkasa dan pertahanan. Kami melihatnya sebagai asas kepada kerjasama jangka panjang yang akan mengukuhkan kedudukan strategik kedua-dua syarikat dalam menyokong keupayaan dan kestabilan pertahanan rantau ini,” katanya.
Perjanjian tersebut merangkumi peluasan kapasiti pengeluaran pesawat oleh PTDI, penyewaan pesawat, serta pembangunan bersama perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) di seluruh Asia Tenggara. Ia turut menyasar kepada pemerkasaan rantaian bekalan tempatan yang mematuhi piawaian pengeluar peralatan asal (OEM).
Dalam skop yang lebih luas, BHIC turut memeterai perjanjian berasingan dengan anak syarikat PTDI yang berpangkalan di Amerika Syarikat, IPTN North America, Inc. (INA, Inc.), bagi memperkukuh ekosistem rantaian bekalan aerostruktur dan memperluaskan kerjasama global dalam pemasaran serta pengeluaran komponen pesawat.
Kerjasama ini dilihat sebagai satu langkah selari dengan aspirasi serantau untuk memperkukuh pertahanan bersama melalui pemindahan teknologi, integrasi industri dan penyelarasan keupayaan antara negara-negara jiran yang berkepentingan dalam keselamatan dan kestabilan geopolitik Asia Tenggara. -airtimes.my
#Malaysia #AirTimes #PTDI #BHIC #pertahanan