BRISBANE, 2 JUN – Boeing mengesahkan keupayaan stealth pesawat tempur kolaboratif MQ-28 Ghost Bat menerusi ujian kebolehkesanan radar, sekali gus mengukuhkan kematangan platform autonomi itu.
Syarikat itu memaklumkan ujian Radar Cross Section (RCS) telah dijalankan terhadap MQ-28 bagi mendapatkan data yang boleh disahkan dan diulang uji mengenai tahap kebolehkesanan radar serta risiko platform itu dikesan dalam operasi.
Ujian RCS digunakan untuk menilai sejauh mana sesuatu pesawat boleh dikesan radar. Bagi MQ-28, ujian itu mengesahkan keberkesanan reka bentuk, proses pengeluaran dan bahan yang digunakan bagi mengurangkan pengesanan radar.
Boeing berkata, RCS yang lebih rendah dapat mengurangkan jarak pengesanan radar musuh terhadap MQ-28, sekali gus meningkatkan kebolehmandirian platform itu dalam ruang udara berisiko tinggi.
“Gabungan platform berkeupayaan tinggi, ciri stealth, autonomi maju dan kecerdasan buatan memberi tentera udara ruang lebih besar untuk melaksanakan misi dengan lebih berkesan dan fleksibel,” kata Pengarah Phantom Works Australia, Brad Thompson.
MQ-28 Ghost Bat direka untuk melengkapkan operasi pesawat berawak dalam pelbagai peranan, termasuk pengawasan, peperangan elektronik dan sokongan kepada operasi tempur udara.
Platform itu dibangunkan untuk beroperasi dengan profil radar rendah, selain membawa keupayaan autonomi yang membolehkannya bekerjasama dengan pesawat berawak dalam misi udara moden.
Ujian radar sahkan reka bentuk stealth
Menurut Boeing, ujian RCS bukan sekadar membuktikan ciri stealth MQ-28, tetapi turut memberi data penting kepada pelanggan bagi menilai kebolehmandirian, risiko pengesanan, keperluan perolehan, pensijilan serta taktik operasi.
Data itu juga boleh digunakan untuk menilai kaedah penggunaan platform dalam misi sebenar, termasuk pilihan langkah balas apabila berdepan ancaman radar musuh.
Dalam ujian RCS, jurutera menilai beberapa sudut pesawat bagi memahami tahap kebolehkesanan radar. Ini termasuk sudut elevasi atau pitch, azimuth dari bahagian hadapan hingga belakang pesawat, serta roll atau putaran pesawat.
Boeing menyatakan kejayaan ujian itu mengesahkan keputusan reka bentuk, proses pengeluaran dan pemilihan bahan bagi mengurangkan kesan pengesanan radar terhadap MQ-28.
Pengesahan tersebut penting kerana pesawat tempur kolaboratif seperti MQ-28 dijangka beroperasi bersama pesawat berawak dan sistem penderia lain dalam ruang udara yang lebih mencabar.
Lebih 150 penerbangan hingga kini
MQ-28 mula dibangunkan pada 2017 dan melakukan penerbangan pertama pada 2021.
Sejak itu, platform tersebut telah melengkapkan lebih 150 penerbangan serta beberapa demonstrasi keupayaan bersama Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).
Antara demonstrasi yang telah dijalankan termasuk operasi dua MQ-28 dalam penerbangan bersama sebuah pesawat digital, selain kerjasama dengan pesawat amaran awal udara E-7A Wedgetail bagi melaksanakan misi terhadap sasaran udara.
MQ-28 juga telah dikerah ke RAAF Base Tindal, iaitu lokasi operasi berbeza daripada pusat ujian asal, bagi menilai keupayaan pengerahan dan operasi di persekitaran baharu.
Boeing turut memaklumkan platform itu telah menunjukkan kemajuan dalam operasi berpasukan melibatkan beberapa MQ-28, selain menjalankan operasi penerbangan harian dalam blok ujian.
Dalam satu lagi demonstrasi, MQ-28 bekerjasama dengan E-7A Wedgetail dan F/A-18F Super Hornet untuk melaksanakan tembakan secara autonomi dan menjatuhkan sasaran udara.
Ujian antarabangsa di Point Mugu
Sebelum ini, MQ-28 turut melengkapkan tiga ujian penerbangan operasi di Point Mugu Sea Range, Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat Ventura County, California.
Ujian di ruang udara sekutu itu merupakan operasi antarabangsa pertama MQ-28 dan bertujuan mengesahkan operasi autonomi, keupayaan pengerahan pantas serta operasi berterusan dari lokasi sekutu.
Pengarah Program Global MQ-28, Glen Ferguson berkata, ujian di Point Mugu menjadi sebahagian daripada program penerbangan Boeing untuk mematangkan platform tersebut.
“Ujian di Point Mugu adalah sebahagian daripada program ujian penerbangan Boeing yang berterusan untuk mematangkan MQ-28 dan menunjukkan keupayaan operasi dari lokasi sekutu.
“MQ-28 menggunakan lokasi itu untuk membuktikan lagi kematangan program dan menyokong penilaian bagi potensi eksport pada masa hadapan,” katanya.
Menurut Boeing, ujian di Point Mugu turut membantu menunjukkan keupayaan MQ-28 beroperasi dari kemudahan sekutu, selain mematuhi keperluan ruang udara, keselamatan kawasan ujian dan kelulusan kawal selia.
Rheinmetall, Boeing tawar MQ-28 kepada Jerman
Minat terhadap MQ-28 turut berkembang di luar Australia. Pada Mac lalu, Rheinmetall dan Boeing Australia mengumumkan kerjasama strategik untuk menawarkan MQ-28 Ghost Bat sebagai penyelesaian bagi keperluan pesawat tempur kolaboratif Jerman menjelang 2029.
Di bawah kerjasama itu, Rheinmetall akan bertindak sebagai pengurus sistem MQ-28 di Jerman, termasuk menyelia integrasi ke dalam sistem perintah dan persenjataan Bundeswehr, penyesuaian kepada keperluan nasional serta sokongan operasi, penyelenggaraan dan logistik.
MQ-28 dibangunkan di Australia dengan sokongan RAAF dan direka menggunakan seni bina sistem terbuka serta modular.
Reka bentuk itu membolehkan platform berkenaan disesuaikan dengan pelbagai keperluan misi, termasuk pengawasan, peperangan elektronik dan integrasi sistem persenjataan.
Perkembangan terbaharu membabitkan ujian stealth, penerbangan antarabangsa dan kerjasama industri di Jerman menunjukkan MQ-28 bukan lagi sekadar demonstrator teknologi, tetapi semakin bergerak ke arah platform operasi untuk tentera udara sekutu. – airtimes.my




